16 Mei 2013

Lucut kerakyatan: Idea GPMS jadi bahan ketawa

6 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Idea untuk membuang kerakyatan warga Malaysia yang mencari nafkah di Singapura ini adalah idea kuno yang akan menyebabkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ditertawakan oleh kelompok muda.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan, Roslee Mohd Shariff menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Setiausaha Agung GPMS, Zambri Isa dalam sebuah akhbar kelmarin yang menggesa dilucutkan kerakyatan penunjuk perasaan di Singapura, baru-baru ini.

Katanya, demonstrasi yang diadakan di Singapura itu adalah kesinambungan dari beberapa himpunan besar di bumi Malaysia bagi menolak keputusan PRU13.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan GPMS hanya alat regim penguasa, dengan idea lapok dan tua.

“Ketahui atau tidak Zambri bahawa lebih dari setengah dari mereka yang keluar mengundi, bermaksud majoriti pengundi PRU13 menolak Barisan Nasional,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, idea untuk penunjuk perasaan ini dibuang kerakyatan adalah idea pengampu yang ketandusan modal fikiran.

Perlu diingat juga, kata beliau dalam keadaan menipu BN hanya mampu peroleh 46% sokongan sahaja.

Justeru, kata beliau SAMM menggesa GPMS tumpu kerja membela pelajar Melayu yang mana merupakan aspirasi penubuhannya.

Menurutnya, perkara yang memalukan negara dan menjarakkan pelabur dari negara bukan demonstrasi tetapi budaya rasuah dan penyelewengan termasuk 'makan' komisyen yang melampau.

Juga, katanya yang menyebabkan pelabur lari ialah sistem perundangan yang dwi-standard.

“Mengambil contoh di negara Korea, hampir setiap minggu demonstrasi besar tetapi kadar pelaburan jika dibeza dengan Malaysia bagaikan langit dengan bumi. Maka jelas saranan GPMS jauh tersasar,” ujarnya.

harakadaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lucut kerakyatan Tun Mahathir, terang-terang mengaku projek IC di Sabah adalah kerja dia.