16 Mei 2013

Kabinet: Hindraf masuk, Perkasa masuk bakul sampah

6 Rejab 1434 H. [MOD] -


Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan pembentukan kabinet baharu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai bukti bahawa perjuangan akidah dan bangsa bukanlah merupakan agenda utama UMNO dan Barisan Nasional.

Ini terbukti apabila berisan kabinet tersebut tidak banyak mengetengahkan individu-individu yang dilihat vokal dalam isu akidah dan bangsa Melayu.

Dari sudut akidah sebagai contoh, Datuk Seri Najib jelas mengambil risiko dengan melantik Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia ( Federation of Councils of Christian Mission Schools Malaysia) adalah merupakan antara tokoh yang memperjuangan status sekolah mubaligh agar disamakan dengan sekolah kebangsaan. Hasil perjuangan beliau juga, sebanyak RM100 juta diagihkan kepada sekolah mubaligh di bawah Bajet 2013.

DPPNK ingin mempersoalkan apakah agenda Datuk Seri Najib membawa masuk individu sebegini di dalam Kementeria Pelajaran jika tidak untuk memperkasakan lagi sekolah-sekolah mubaligh dan dalam masa yang sama tiada tokoh yang akan memperjuangkan sekolah agama rakyat? Tidakkah ini juga merupakan tindakan berisiko untuk silibus pengajian murid-murid di sekolah kebangsaan yang pastinya akan turut menerima kesan ialah anak-anak kita semua?

Demikian juga tindakan Datuk Seri Najib membawa masuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waythamoorthy ke dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengenepikan suara-suara badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan bangsa Melayu turut dianggap sebagai umpan untuk menarik kembali undi bukan Melayu kepada Barisan Nasional.

Dalam hal ini, DPPNK ingin sekali mengetahui sikap badan-badan bukan kerajaan seperti PERKASA dan JATI yang jelas hanya dibakulsampahkan dalam pembentukan kabinet ini.

Selain itu, kegagalan Datuk Seri Najib untuk membawa masuk lebih ramai tokoh agama ke dalam kabinet membayangkan slogan UMNO selama ini sebagai pejuang agama Islam hanyalah retorik semata-mata.

Jika sebelum ini sekurang-kurangnya kabinet Malaysia mempunyai Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Masyitah Ibrahim, kini hanya tinggal satu nama iaitu Jamil sebagai tokoh yang berlatarbelakangkan agama dalam kabinet baharu ini.

Di mana suara para ulama yang sebelum ini kuat membela UMNO/Barisan Nasional dalam isu kalimah Allah dan sebagainya? Adakah sudah menjadi kukur kelapa yang digunakan ketika kenduri dan disandar di hujung dapur apabila musim kenduri sudah habis?

Bagaimanapun konteks Kelantan, DPPNK mengharapkan agar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dilantik untuk penggal seterusnya dapat memainkan peranan yang lebih aktif membantu membawa pembangunan ke Kelantan. Ini ditambah pula dengan kejayaan besar beliau memenangi DUN Ayer Lanas dengan majoriti 47 undi membolehkan beliau untuk menajdi jambatan penghubung di antara kerajaan Kelantan dan kerajaan Pusat.

Apapun, bagi pihak DPPNK, tiada yang mengejutkan dalam kabinet baharu Datuk Seri Najib ini, transformasi yang dilaungkan hanyalah transformasi label dan pembungkus sahaja sedangkan isi  dalamannya masih sama bahkan lebih tidak mustahil lebih teruk daripada yang sebelumnya.


* Penulis adalah Ketua Penerangan,Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).

harakah/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pasal ketua HINDRAF, P. Waythamoorthy dapat masuk cabinet ni, rasanya mungkin cadangan dari Zulkifli Nordin "101%" kat DS Najib sebab puak-puak pengganas hindu ni dah jadi baik dan peluk cium 'minta ampun' kat Zul Nordin. Syabbas Datuk Zul ... takpa lah PERKASA mengalah ... Lepas ni bolehlah tubuh pulak PERKHINDRAF, Datuk Zul jadi pengerusi & Waythamoorthy timbalannya ... Ha ha ha ...