16 Mei 2013

Nasrudin harap Khairy jadikan belia ada jati diri

6 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Kami dari Dewan Pemuda PAS berharap Khairy dapat menunaikan amanah di dalam membangunkan generasi golongan belia yang berjati diri dan berintegriti tinggi,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan dalam perutusan sempena Hari Belia 2013.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berharap sambutan Hari Belia Negara tahun ini menjadi pemangkin kepada golongan muda untuk terus mencanai aspirasi dan idealisme bagi melakukan perubahan bagi mencorak masa depan yang lebih cemerlang untuk masyarakat dan negara.

Perutusan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Saya dan rakan-rakan di dalam kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Belia kepada golongan anak muda di seluruh pelusuk tanah air sempena sambutan Hari Belia Negara 2013 yang disambut pada 15 Mei setiap tahun.

Sambutan ini diadakan pastinya bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan yang dibuat oleh para belia dan beliawanis untuk memajukan masyarakat dan negara.
Generasi belia kini merupakan kumpulan terbesar dalam komposisi masyarakat negara ini. Secara demografinya, kadar umur purata kebangsaan adalah 26.2 tahun. Mereka yang berumur di dalam lingkungan 15 tahun hingga 40 tahun, yang merupakan linkungan umur teknikal bagi pendefinisian belia melebihi 10.94 juta orang iaitu 42% dari jumlah keseluruhan populasi Malaysia berjumlah 26 juta orang. Oleh itu suara golongan belia mesti mendapat perhatian sewajarnya selari dengan komposisi mereka yang signifikan di dalam masyarakat.

Golongan belia juga kini lebih berdaya di dalam mendepani cabaran mendatang di dalam bidang yang mereka ceburi.  Antara yang paling membanggakan ialah peningkatan kesedaran politik di kalangan belia. Undi golongan belia di dalam PRU13 mencerminkan kejituan aspirasi untuk mencetus perubahan.

Kepimpinan golongan belia pula diiktiraf masyarakat apabila ramai anak muda yang dicalonkan diangkat oleh pemilih untuk mewakili mereka di dalam parlimen. Pastinya PAS dan Pakatan Rakyat mendahului BN dari segi jumlah dan kualiti ketokohan yang ditampilkan.

Dewan Pemuda PAS komited di dalam menggiatkan dinamisme golongan belia di dalam jamaah dan masyarakat. Ianya bukanlah untuk tujuan singkat bagi meraih sokongan politik tetapi dipandu kefahaman bahawa usia muda sebelum tua adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt. ke atas kita semua di akhirat kelak.

Sabda Rasullulah saw yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati (Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Di dalam konteks ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia sentiasa mencari jalan untuk menterjemahkan Islam sebagai satu cara hidup yang boleh memakmurkan nilai berkebajikan di kalangan golongan belia khususnya di dalam aspek akhlak dan kenegaraan.

Bagi menjamin keremajaan PAS dan mengekalkan relevan parti kepada golongan muda, Dewan Pemuda PAS telah memperkenalkan agenda Mencorak Masa Depan yang antara lainnya telah menghasilkan Manifesto Tawaran Untuk Anak Muda di dalam PRU yang lepas.

Cabaran kita berterusan di dalam memelihara kelangsungan pendidikan dan perkaderan agar Umat Islam tidak keputusan melahirkan generasi muda yang mampu menjelmakan ketokohan Umar Abd. Aziz dan Muhammad al-Fateh di dalam keperibadian mereka.

Di dalam kesempatan yang ada, saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada rakan saya dari Pemuda UMNO YB Sdr. Khairy Jamaludin di atas perlantikan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Kami dari Dewan Pemuda PAS berharap YB Sdr. Khairy dapat menunaikan amanah di dalam membangunkan generasi golongan belia yang berjati diri dan berintegriti tinggi.

Semoga Sambutan Hari Belia Negara 2013 ini menjadi pemangkin kepada golongan muda untuk terus mencanai aspirasi dan idealisme bagi melakukan perubahan bagi mencorak masa depan yang lebih cemerlang untuk masyarakat dan negara.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: