6 Rejab 1434 H. [MOD] -
REMBAU – "Saya hanya mampu menjerit Allahuakhbar sekuat hati saat kereta berpusing sebanyak dua kali dan terbabas sejauh lebih 30 meter ke dalam semak gara-gara mengelak dari melanggar lembu,". Luah mangsa kemalangan, Muhamad Nur Faez Zainal, 29, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 31, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai jurutera bunyi di Hard Rock Cafe Melaka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampangan, Seremban.
Menurutnya, setelah habis bekerja pada 12.45 malam, dia sememangnya tidak sabar pulang ke rumah lebih-lebih lagi isteri, Tengku Mariam Marissa Tengku Salehudin, 28, dan anak-anaknya sudah menunggu bagi menyambut hari lahirnya hari ini (semalam).
"Terselamat daripada kemalangan ini adalah hadian terbaik buat saya di hari lahir ini.
"Selepas kemalangan saya berusaha keluar sendiri dari dalam kereta yang terbalik melalui cermin hadapan sebelah pemandu sebelum penduduk menghulurkan bantuan kepada saya," katanya.
Muhamad Nur Faez berkata, laluan berkenaan sememangnya menjadi laluan hariannya sejak dia mula dipindahkan bekerja ke Hard Rock Cafe Melaka yang beroperasi sejak awal tahun ini.
"Malam ini hati saya memang sudah berada di rumah bersama keluarga kerana hari ini (semalam) merupakan hari lahir saya. Jadi apabila habis waktu bekerja saya terus bergegas pulang," katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai cuba mengelak seekor lembu lalu terbabas ke kiri jalan sebelum kenderaan jenis Proton Saga FL yang dipandu mangsa terbalik.
"Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan