16 Mei 2013

Kabinet: Kelantan sambut baik, minta hormati federalisme

6 Rejab 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (gambar) menyambut baik kabinet baharu Malaysia namun berharap kabinet ini menghormati semangat federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan.

"Saya mengharapkan agar Kabinet baharu ini dapat mewajahkan semula kerjasama di antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan Pusat sesuai dengan semangat federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan.

"Dalam hal ini, saya menggesa agar Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang mengkategorikan tiga senarai iaitu senarai persekutuan, negeri dan senarai bersama terus dihormati untuk kebaikan semua pihak khususnya rakyat Kelantan," kata Ahmad dalam kenyataannya.

Beliau menyambut baik pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Bagi saya ia hak Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri untuk memilih sesiapa sahaja menganggotai kabinet beliau sesuai dengan peruntukan Perkara 43 (2) (B) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang menyebut bahawa Kabinet baru ini sebagai kabinet transformasi.

"Transformasi yang paling penting tentunya ialah transformasi sikap dan mentaliti dan bukan hanya transformasi wajah baru menggantikan wajah lama sahaja," tegas beliau.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: