NEW DELHI – Sekumpulan doktor semalam berjaya melakukan pembedahan
untuk menyelamatkan nyawa seorang bayi berusia 15 bulan yang menghidap
penyakit kepala membesar.
Seorang doktor, Sandeep Vaishya berkata, pembedahan itu berjalan dengan sempurna di sebuah hospital swasta di pinggir New Delhi.
Bayi itu, Roona Begum dilahirkan dengan menghidap penyakit
peningkatan cecair dalam kepala yang dikenali sebagai hidrosefalus.
Kepalanya membesar dua kali ganda daripada normal.
Kisah bayi itu diketahui pada bulan lalu di Kampung Jirania di negeri Tripura, India.
Ibu bapanya hidup dalam kemiskinan. Semasa Roona dilahirkan, bapanya,
Abdul Rahman yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sebanyak
AS$2.75 (RM8.25) sehari diberitahu supaya membawa anaknya ke sebuah
hospital swasta.
Bagaimanapun, kos perubatan untuk ditanggung Abdul Rahman yang berusia 18 tahun itu adalah tinggi.
Sebuah hospital yang dikendalikan Kumpulan Fortis Healthcare di pinggir New Delhi kemudian merawat Roona dengan percuma.
Doktor-doktor di hospital itu menggunakan peralatan pembedahan untuk
menebuk tengkorak Roona untuk mengalirkan cecair daripada kepalanya.
Ukur lilit kepala bayi itu sebelum pembedahan ialah 94 sentimeter (sm).
Selepas pembedahan, ukur lilit kepalanya ialah 60sm.
Pembedahan itu mengambil masa selama lebih sejam.
Bagaimanapun, Vaishya berkata, bayi itu memerlukan satu lagi pembedahan untuk mengurangkan saiz kepalanya.
Ibu bapa bayi itu menyatakan perasaan gembira ekoran kejayaan pembedahan itu.
Roona kembali sedar selepas pembedahan itu dilakukan.
Balutan di kepala Roona menyebabkan ibunya, Fatema Khatun yang berusia 25 tahun menangis.
Namun, tangisannya terhenti selepas Vaishya menyatakan, pembedahan ke atas anaknya telah berjaya dilakukan.
Dua pelajar kolej dari Norway, Jonas Borchgrevink dan Nathalie Krantz
yang menyaksikan gambar-gambar Begum telah memulakan kempen di internet
untuk mengutip wang sebanyak AS$52,000 (RM156,181) bagi membantu
keluarga Begum dan rawatan selepas pembedahan.
– Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan