13 Ogos 2013

Kelantan akan tubuh Institut Pemikiran Tok Guru

6 Syawal 1434 H. [MOD] -

Selasa, 13 Ogs 2013 07:28
KOTA BHARU: Institut Pemikiran Tok Guru akan ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan seberapa segera mungkin sebagai ruang rujukan masyarakat negeri ini dan luar untuk mendapatkan ilmu daripada bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.



Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, ketika memberitahu Harakahdaily berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Tuan Guru sejak cadangan penubuhannya selepas PRU13 lalu.

Menurutnya lagi, ianya diwujudkan sebagai ruang rujukan masyarakat berhubung ilmu Islam khususnya.

“Semoga idea, pemikiran, ilmu yang selama ini telah dikongsikan oleh tuan guru sejak sekian lama termasuk di peringkat kerajaan selama 23 tahun dapat dikongsi bersama oleh orang ramai.

“Dengan cara ini, idea atau pemikiran tok guru selama ini sentiasa segar dan dapat dimanfaatkan untuk semua sebagai teras kepimpinan ulama,” ujarnya.

Institut itu, katanya akan memainkan peranan penting untuk menyebarkan konsep pentadbiran ulama di bawah kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang ada sekarang.

Jelasnya, bagi menjayakan hasrat itu Tuan Guru akan hadir di pejabat Kota Darulnaim selama sebulan, seminggu sekali bagi membolehkan pelbagai pihak bertemu dengannya.

Pada masa yang sama, katanya Tuan Guru juga akan menyampaikan kuliah agama sekali dalam sebulan.

Tuan Guru ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menubuhkan institut itu.

Katanya, penubuhan itu sebagai suatu penghormatan kerajaan negeri dan rakyat kepadanya.

“Insya Allah saya akan penuhi hasrat itu demi untuk Islam, kerana selagi saya hidup, selagi itu saya tetap akan berjuang untuk Islam, untuk masyarakat seluruhnya,” ujarnya.

Tiada ulasan: