13 Ogos 2013

1.2 juta rakyat Malaysia alami masalah kencing

6 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 1.2 juta rakyat Malaysia mengalami masalah inkontinens atau ketidakupayaan mengawal pembuangan air kencing.


Presiden Yayasan Kontinens Malaysia, Dr Peter Ng, berkata inkontinens urinari (gagal mengawal pundi kencing) lebih banyak dihadapi wanita berbanding lelaki, iaitu gangguan lantai pelvik yang paling lazim dialami dan tahap penyakit itu berbeza bagi setiap orang.
Perunding Urologi itu berkata seorang daripada 10 wanita, biasa menghadapi masalah inkontinens, manakala seorang daripada 20 lelaki pernah mengalami simptom itu.
Beliau berkata terdapat dua jenis inkontinens urinari yang dihadapi wanita iaitu 'inkontinens tekanan' dan 'inkontinens desakan'.
Inkontinens tekanan disebabkan batuk, ketawa, bersin, bersenam, mengangkat bebanan dan melakukan aktiviti berat manakala inkontinens desakan merujuk kepada pembuangan air kecil secara tidak terkawal dan dicetuskan secara rambang oleh bunyi air mengalir atau kurang minum air, katanya.
Bercakap kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, Dr Ng berkata sesetengah wanita dan lelaki mengalami simptom inkontinens jenis tekanan dan desakan serentak, bagaimanapun kedua-kedua jenis inkontinens urinari ini boleh dirawat.
Beliau menegaskan inkontinens bukan sejenis penyakit tetapi lebih kepada simptom keadaan lain dan tanda-tanda menunjukkan sesuatu di dalam badan anda tidak berfungsi dengan baik.
"Inkontinens urinari boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi ia menjadi lebih lazim dengan peningkatan usia. Jika anda semakin berumur, lelaki dan wanita mempunyai masalah urin yang sama.
"Satu-satunya perbezaan adalah kelenjar prostat. Lelaki mempunyai kesukaran membuang air (biasanya disebabkan pembesaran prostat) dan wanita mudah bocor (biasanya disebabkan otot pelvik yang lemah)," katanya.
Ditanya tentang punca inkontinens, Dr Ng berkata terdapat banyak faktor inkontinens dan kadang-kadang ia hanya keadaan sementara yang dicetuskan oleh makanan tertentu atau cecair seperti alkohol dan kafein, yang mungkin mengganggu lapisan pundi kencing.
Bagi wanita ia disebabkan mengandung dan melahirkan anak, apabila lantai otot pelvik atau sfinkter (gelang otot) urinari atau saraf yang mengawal otot ini rosak, dan disebabkan otot pundi kencing lemah, katanya.
Dr Ng berkata lebih 80 peratus kes boleh diubati sama ada dengan mengawal pergerakan usus, melakukan senaman otot lantai pelvik, latihan pundi kencing, pengambilan ubatan dan pembedahan, jika perlu.
Beliau berpendapat inkontinens bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani dan ia boleh menjadi rumit apabila orang tersayang menghadapinya, kerana dianggap sesuatu yang memalukan atau dilarang untuk membincangkannya.
"Apabila masyarakat sedar berapa ramai yang mengalami kesukaran inkontinens urinari, jadi mereka tidak akan malu untuk menanganinya. Nasihat saya kepada mereka yang mengalami simptom ini, sila berjumpa pakar urologi untuk didiagnos supaya anda boleh menjalani kehidupan normal," katanya.
Kajian daripada TENA Malaysia, pakar terkemuka dalam inkontinens urinari dan lemah pundi kencing, mendedahkan tiga peratus daripada penduduk dunia mengalami simptom ini.
Kajian itu mendapati 77 peratus daripada responden menyatakan inkontinens memberi kesan negatif kepada keyakinan diri, 74 peratus (menyiapkan tugasan), 64 peratus (aktiviti fizikal) dan 45 peratus (memberi tumpuan). - BERNAMA

Tiada ulasan: