13 August 2013

PAS kemuka pelan tindakan atasi jenayah berat

6 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily.

KUALA LUMPUR:PAS akan berusaha mengemukakan pelan tindakan yang praktikal bagi menghadapi berleluasanya jenayah berat termasuk yang melibatkan pembunuhan menggunakan senjata api, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Saya akan berusaha untuk mencadangkan langkah-langkah yang sewajarnya dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkaitan perkara itu," katanya.

Apa yang penting, kata beliau, ialah PAS mesti mengemukakan pelan tindakan mengatasi jenayah yang praktikal sama ada kepada pihak berkuasa atau rakyat.

"Bagi mencapai tujuan itu, antara langkah pertama yang akan dilaksanakan oleh PAS ialah menggemblengkan pengalaman dan pemikiran bekas-bekas pegawai tinggi polis dan tentera yang kini berada di dalam PAS dan Pakatan Rakyat untuk menggariskan pelan tindakan yang benar-benar responsif kepada masalah tersebut," kata Salahuddin.

PAS, katanya lagi, tidak akan mengemukakan pelan tindakan itu kepada kerajaan sahaja malah kepada rakyat seluruhnya bagi memastikan manfaatnya yang meluas.

"Kita akan menggunakan medium-medium yang ada pada PAS seperti majlis-majlis ceramahnya, medianya dan lain-lain untuk membangkitkan kesedaran rakyat serta memastikan manfaat yang meluas pelan tindakan yang akan dikemukakan itu," kata beliau.

Bagi Salahuddin, sikap hanya menudung jari dan tidak bersifat pro-aktif dalam menangani masalah seperti masalah jenayah berat yang melanda negara kini tidak boleh lagi diamalkan, memudaratkan dan ketinggalan zaman.

Meskipun begitu, katanya, kerajaan juga mesti memainkan peranan dengan mengemukakan sistem dan strategi baru mencegah dan mengawal jenayah, penambahan anggota dan kelengkapan serta penambahbaikan kecekapan.

"Bagaimanapun semua langkah itu tidak lengkap dan bermakna tanpa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"IPCMC sudah disepakati oleh sebahagian besar rakyat sebagai antara mekanisme yang diyakini untuk memperbaiki dan meningkatkan integriti pihak polis sebagai penguatkuasa yang dihormati dan disegani," kata Salahuddin.

Sejak Julai lalu, kes tembakan semakin berleluasa di negara ini.

Dua hari lalu, dalam masa 24 jam sahaja, sehingga empat kes tembakan dilaporkan berlaku, iaitu dua di Pulau Pinang, satu di Ipoh dan satu di Kuala Lumpur.

No comments: