13 Ogos 2013

Tak logik guna surau untuk meditasi

6 Syawal 1434 H. [MOD] -

  • Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengesyaki wujud “sesuatu yang tidak kena” dalam kejadian melibatkan penganut Buddha yang didakwa melakukan upacara keagamaan kontroversi di sebuah surau di resort di Kota Tinggi.
    Katanya, perkara itu perlu disiasat sebaiknnya kerana kejadian berkenaan menimbulkan banyak persoalan.


    "Saya rasa satu penyiasatan harus dilakukan dengan teliti siapa mereka sebenarnya. Kita tak nak buat tuduhan awal dan mengambil tindakan berdasarkan emosi.

    "(Penjelasan) mereka (peserta upacara) seperti tidak logik apabila mahu gunakan surau untuk meditasi. Benda ini macam ada perkara yang tidak kena. Jadi ia perlu siasatan rapi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Beliau juga berpendapat, tindakan kumpulan penganut agama tertentu untuk menggunakan rumah ibadat orang lain merupakan perbuatan yang tidak masuk akal.

    "Saya lihat mustahil mereka yang memegang agama-agama lain seperti Kristian atau Buddha, ingin buat acara di rumah ibadah lain.

    “Seperti kita, ada ke kita mahu solat di kuil? Macam pelik (kejadian ini)," katanya lagi.

    Beliau merujuk kepada penjelasan pihak pengurusan resort yang didakwa membenarkan penganut Buddha melakukan upacara tersebut dilaporkan mempertahankantindakan tersebut dengan alasan ia bukan satu kesalahan.
    Wakil pengurusan terbabit mendakwa peserta upacara berkenaan mahu menggunakan dewan untuk bermeditasi.
    Beliau dilaporkan berkata, keputusan untuk membenarkan perkara itu pada pendapatnya bukan satu kesalahan.
    Menurutnya lagi, beliau berniat untuk "menunjukkan Islam adalah agama sejagat dan bertoleransi".
    Kejadian itu dikesan melalui satu video di Youtube, menunjukkan sekumpulan individu sedang menyertai satu upacara di lokasi berkenaan.
    Kumpulan yang diketuai seorang individu berpakaian berwarna oren tersebut ditunjukkan berada dalam keadaan duduk  mengadap satu objek yang didirikan dalam di depan, di ruang tengah dalam surau terbabit.

    Video dimuatkan oleh pengguna Youtube yang menggunakan nama 'Sebastianphiu' itu turut menunjukkan hiasan tulisan dalam bahasa Arab di dinding surau terbabit,.

    Video sepanjang 1 minit 25 saat yang dikesan dimuatkan dua hari lalu kini ditonton lebih 10,000 orang, setakat hari ini.

Tiada ulasan: