13 Ogos 2013

Tempoh tahanan Morsi dilanjutkan 15 hari lagi

6 Syawal 1434 H. [MOD]
MESIR: Badan Kehakiman Mesir, semalam telah memanjangkan tempoh penahanan Presiden yang digulingkan Dr Muhammad Mursi untuk 15 hari lagi sementara menunggu siasatan kerjasama dengan Hamas.

Mursi, digulingkan oleh tentera pada 3 Julai, telah diletakkan dalam tahanan pada 26 Julai atas dakwaan hubungannya dengan gerakan Islam Palestin (Hamas).

Sebelum ini pihak tentera berjaya mendapatkan perintah mahkamah menahan Morsi selama 15 hari untuk tujuan siasatan tersebut.

Dalam pada itu, pihak tentera Mesir memaklumkan mereka telah menangguhkan serangan untuk menyuraikan kumpulan penyokong Morsi di medan Raba'ah yang sepatutnya dijadual dilakukan semalam.

DailyHerald melaporkan, seorang pegawai keselamatan Mesir, yang tidak mahu nama disiarkan memaklumkan penagguhan itu sekurang-kurangnya buat sementara waktu bagi "mengelakkan pertumpahan darah".

Beliau mendakwa, punca penangguhan itu ekoran maklumat berhubung operasi menggempur itu telah "dibocorkan" kepada pihak media.

Sejak Sabtu lalu, penyokong legitimasi yang menentang rampasan kuasa yang berkumpul di medan Raba'ah berdepan ancaman serangan apabila pihak tentera dikatakan mula mengepung kawasan di sekitar.

Ianya dikuatkan lagi apabila pada malam Ahad lalu, bekalan eletrik di kawasan Raba'ah telah diputuskan menjelang lewat malam yang memaksa penyokong menggunakan lampu malap yang dihidupkan menggunakan generator.

Sebagai keadaan siap siaga berdepan serangan pihak tentera, para penyokong masing-masing berkubu di pintu-pintu masuk medan itu dan memperkemas benteng-benteng pasir yang dibina sejak sebulan lalu.

Tiada ulasan: