24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Lagi warga asing yang berkerja sebagai pengawal keselamatan ditahan dan didapati memiliki kad pengenalan palsu.
Sekali ini dua warga Filipina ditahan selepas didapati menggunakan kad pengenalan Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah premis di Putrajaya.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd. Said berkata, mereka ditahan dalam operasi khas yang dijalankan pihaknya semasa memeriksa kad pengenalan pengawal keselamatan terbabit.
"Dua warga Filipina itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini selepas didapati menggunakan kad pengenalan palsu.
"Kita masih menyiasat di mana mereka memperoleh kad pengenalan ini sama ada dicuri, terjumpa atau lain-lain," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Sebelum ini negara dikejutkan dengan berita seorang pegawai bank wanita berusia 37 tahun yang bertugas di Ambank maut akibat ditembak di kepalanya oleh seorang pengawal keselamatan warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu yang merompak wang di bilik kebal bank tempat mangsa bekerja di Jalan USJ 2 .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan