29 October 2013

Lelaki ikat dadah RM500,000 di paha ditahan

24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu manakala tiga lagi rakannya ditahan di lapangan terbang Hong Kong Sabtu lepas, dan polis menemui dadah jenis kokain diikat pada paha mereka.

Kesemua mereka termasuk seorang wanita itu adalah dari Pulau Pinang dan dipercayai anggota sindiket dadah yang sama.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis menemui dua kilogram kokain bernilai RM500,000 diikat di kedua-dua paha lelaki yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).


"Lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melepasi pemeriksaan beg dan badan di balai perlepasan untuk penerbangan ke Hong Kong pada 5.45 pagi.

"Pemeriksaan ke atas badan suspek menjumpai empat paket kokain yang dibalut di kedua-dua paha dengan setiap paket seberat 500gm," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas wang tunai HK$1,000 dan RMB200 (Yuan) daripada lelaki itu.

Hamza berkata semakan rekod penerbangan mendapati lelaki itu berlepas dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur pada Khamis lepas, sebelum memasuki Sabah keesokannya (Jumaat) dan dijadual ke Hong Kong pada Sabtu.

Beliau berkata susulan penangkapan lelaki itu, polis mengesan tiga lagi rakan suspek yang membawa empat kilogram kokain menggunakan taktik sama.

"Tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah menyalurkan maklumat membawa kepada penangkapan tiga rakan suspek termasuk seorang wanita oleh Polis Narkotik Hong Kong sebaik tiba di lapangan terbang negara itu pada hari sama," katanya.

Hamza berkata ujian saringan awal ke atas lelaki yang ditahan di LTAKK itu mendapati dia negatif dadah.

Lelaki itu mempunyai jenayah rekod jenayah lampau dan masih menjalani pengawasan polis dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya di Pulau Pinang. 

- Bernama

No comments: