29 Oktober 2013

Kelantan pastikan kanun syariah jadi kenyataan


24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU: Selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II diluluskan persidangan Dun Kelantan pada 1993, kini kerajaan negeri mengambil langkah lebih serius memastikan perundangan tersebut dapat dilaksanakan.

Tahun hadapan kerajaan negeri menyedia peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyediakan prasarana ke arah pelaksanaan perundangan tersebut termasuk melatih hakim-hakim.

Dan semalam juga demontrasi hukuman sebatan dalam Islam dipertonton kepada orang ramai sempena Konvensyen Amar Ma’ruf Nahi Mungkar peringkat kebangsaan yang diadakan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Nasuruddin Daud berkata, perundangan tersebut tetap akan dilaksanakan biar pun ditolak kerajaan pusat.

“Kita tetap akan laksanakan biar pun kerajaan pusat menolaknya,” katanya ketika membentang kertas kerja Amar Makruf Nahi Mungkar Pengalaman Kerajaan Kelantan di Putik hari ini.

Turut membentang kertas kerja pada konvensyen tersebut anggota Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, bekas anggota Exco kerajaan Teregganu, Datuk Abu Bakar Chik dan Pengasas Yayasan Amal Malaysia, Husin Ismail.

Turut sama mengikuti konvensyen berkenaan mantan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad dan Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad.

Peserta konvensyen dua hari itu terdiri dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri dan pusat serta wakil-wakil badan bukan kerajaan.   

Nasuruddin juga berkata, sekiranya pelaksanaan kanun jenayah syariah masih ditolak kerajaan pusat, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Dan sekiranya mahkamah juga menolaknya maka kita kembali kepada mahkamah rakyat,” ujarnya.

Menurutnya juga pelbagai usaha sudah dilakukan bagi membolehkan perundangan berkenaan dapat dilaksanakan termasuk mengemukakan usul di parlimen.

Sementara itu Dr Halimah berkata, kerajaan Selangor menggunakan pendekatan rohani dengan mendedahkan rakyat terhadap ilmu bagi membolehkan mereka mengurus emosi dengan baik.

Katanya, kefahaman mendalam melalui ilmu membolehkan rakyat bertindak selaras dengan tuntutan Islam dan mengelakkan perkara-perkara mungkar.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: