29 October 2013

Gaji pegawai JPM melampau, lagi pembaziran kerajaan

24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Roketkini,29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming menegaskan gaji tinggi diperoleh kakitangan kontrak dalam kerajaan adalah satu lagi contoh pembaziran yang tidak dapat ditangani.

Beliau berkata, sebagai contoh jawatan kanan dibayar gaji sebanyak RM69,000 sebulan manakala Pengarah Pengurusan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dibayar RM49,000.

Menurut beliau, gaji terlalu tinggi melebihi bayaran diperoleh Ketua Setiausaha Negara itu menyumbang kepada kenaikan 13 peratus dalam Bajet 2014 untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Dalam jawapan Parlimen pada 1 Oktober, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia adalah RM830,500 iaitu gaji bulanannya kira-kira RM69,000. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000 (RM40,000 sebulan).

“Semua CEO ini dibayar bulanan lebih tinggi daripada penjawat awam seperti Ketua Setiausaha Negara yang gaji bulanan RM23,577,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, tadi.

Tambahnya, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD turut mendapat elaun tahunan sebanyak RM162,000 dan bonus sebanyak RM60,000.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp pula menerima gaji bulanan sebanyak RM30,000 dan elaun bulanan kereta sebanyak RM5,000.

Di samping itu, kakitangan di JPM, yang kebanyakannya berkontrak turut dibayar lebih tinggi daripada gaji penjawat awam.

“Sebagai contoh, seorang Pengarah PEMANDU yang setaraf dengan JUSA A/B penjawat awam bergaji maksimum sebanyak RM49,000 sebulan, seorang Pengarah Bersekutu mereka juga bersamaan dengan JUSA C penjawat awam dengan gaji maksimum RM31,600 sebulan.

“Jawatan Pengurus Kanan yang bersamaan dengan penjawat awam Gred 54 dengan gaji maksimum RM21,000 sebulan,” ujarnya.

Agensi lain di bawah JPM termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Kumpuan Industri Kerajaan Teknologi Tinggi dan Unit Peneraju Bumiputera.

Pada masa sama, Kian Ming turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan kewujudan agensi baru seperti Yayasan Hijau yang mempunyai fungsi bertindih dengan beberapa agensi lain sedia ada seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC).

“Jika Najib benar-benar serius menyarankan rakyat mengubah gaya hidup dengan peningkatan harga akibat pemotongan subsidi dan pelaksanaan GST, beliau sendiri perlu turut sama berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan di jabatannya.

“Najib harus sedar bahawa peruntukan untuk jabatan beliau melonjak sebanyak 13 peratus berbanding tahun lalu iaitu 1.5 peratus daripada jumlah bajet iaitu RM250 bilion kepada RM264 bilion.

Walaupun dikritik hebat pimpinan Pakatan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala menyatakan bahawa pihaknya menerima satu daripada peruntukan terbesar sebanyak RM16.45 bilion di bawah Bajet 2014.

No comments: