24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Abdul Shukur Harun , | 29 Okt 2013 |
Sangat menarik melihatkan demikian ramai yang bakal dicalonkan dalam pemilihan saf pimpinan Pemuda PAS Pusat di Muktamar Pemuda November ini, menunjukkan ramai yang berminat untuk mengambil peranan penting dalam kepimpinan Pemuda di masa depan.
Pemuda ialah sayap penting PAS, terutama kerana ia bakal mewarisi kepimpinan PAS akan datang, bukan saja kerana umur mereka yang masih muda, tetapi juga tentunya berilmu dan mempunyai daya juang yang tinggi, sanggup menghadapi cabaran dan sebagainya.
Pemuda PAS dalam sejarahnya pernah dipimpin oleh para tokoh yang berwibawa, antaranya Datuk Haji Mustafa Ali, Haji Muhamad Sabu, Ustaz Abu Bakar Cik, Ir. Khalid Samad dan lain-lain, membawalah kepada Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Ustaz Nasrudin Tantawi.
Tetapi suasana di zaman pimpinan Pemuda di masa lalu sangat jauh berbeza dengan suasana masa kini, baik mengenai cita rasa generasi muda, percaturan politiknya, malah keseluruhan cabaran masa kini. Justeru pimpinan Pemuda sewajarnyalah memahami dan menangani perubahan ini sebijaksana mungkin.
Dalam suasana begini, Dewan Pemuda PAS tidak wajar lagi dilihat menjadi bayangan Dewan Ulama, justeru Dewan Ulama mempunyai identiti dan fungsinya sendiri, sementara Dewan Pemuda pula sewajarnya mempunyai identiti dan peranannya sendiri. Ia perlu menjadi prime-mover, atau penggerak utama masyarakat, terutama generasi baru dengan gerak kerjanya yang tersendiri.
Ia tidak boleh lagi berfikir dan bekerja dengan pemikiran dan kerangka konvensional, memenuhi dan mengulangi cara bekerja yang biasa dilakukan di masa lalu tetapi ia perlu meneroka daerah baru, membuka dimensi baru di medan perjuangan. Bukan lagi sekedar menunjukkan protes di sana sini akan apa yang bertentangan dengan agama, tradisi dan sebagainya, tetapi bertindak dengan bijaksana menangani isu-isu yang berbangkit itu Malah Pemuda perlu memberikan pandangan alternatif untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam masyarakat.
Di sama pelbagai kelompok anak muda yang perlu disantuni. Ada golongan yang terpisah langsung dengan politik, ada golongan muda yang faham akan tanggungjawab mereka untuk membina sebuah masyarakat adil dan menghayati demokrasi, ada golongan muda yang sangat prihatin dengan agama, ada yang terjebak dengan pelbagai masalah tekanan di tempat kerja, masalah hutang yang memerangkap mereka, masalah keluarga dan pelbagai lagi.
Dalam masa yang sama Pemuda akan menyaksikan sistem nilai berbeza yang amat ketara antara golongan generasi baru dengan generasi lama yang tentunya sangat memerlukan segala kebijaksanaan Pemuda untuk menanganinya.
Di sini bukanlah masalah Pemuda PAS perlu memakai jubah dan ketayap, atau memakai kot dan tali leher, ataupun berbush-jeket untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang pelbagai itu. Tetapi yang penting ialah apa yang ada dalam kepala - pemikiran, idea dan kebijaksanaan Pemuda – untuk mendepani suasana yang ada di sekeliling.
Di sini saya menyebutkan dua contoh anak muda yang sangat warak, berani dan bijaksana - Tariq ibn Ziyad dan Muhammad al-Fatih. Dalam umur, 22 tahun menurut suatu riwayat, Tariq telah memimpin pasukan tenteranya dari Morocco menyeberang selat Gibraltar.yang dilatari bukit bukau lalu mendarat dan menawaan Andalusia/Kordova, Spanyol di zaman Khalifah Ummayah.
Bukan saja beliau membebaskan Andalusia dari pemerintahan Kristian, tetapi setelah menjadi gabenor di sana, beliau telah melakukan pencerahan dengan menegakkan keadilan dan kebebasan. Akhirnya demikian ramai orang Kristian di Andalusia memeluk Islam secara sukarela.
Demikian juga dengan Muhammad al-Fatih yang menjadi Sultan yang memerintah Daulah Uthmaniyyah dalam masa singkat iaitu dari tahun 1444 ke 1446 dan kemudian dari tahun 1451 ke 1481. Keistimewaan Muhammad al-Fatih ialah menakluk Constantinople (Istanbul) pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Kristian Byzantine.
Sesudah membebaskan Constantinople beliau menerapkan nilai Islam, menegakkan keadilan dan hak asasi rakyat merentasi kepercayaan agama serta menjaga kebajikan rakyat.
Ini dua contoh bagaimana pimpinan pemuda yang warak, berani dan bijaksana melaksanakan perjuangan. Keduanya meneroka wilayah baru, mengadakan pencerahan, memberikan keadilan dan hak asasi rakyat tanpa mengira keturunan dan agama. Di samping itu sangat peduli akan kebajikan rakyat.
Oleh itu, yang perlu dicontohi oleh Pemuda PAS dalam dua peristiwa ini ialah kewarakan, keberanian dan kebijaksanaan. Ini kunci kejayaan Tariq Ibn Ziyad dan Muhammad al-Fatih. Oleh itu dalam semua hal, selain dari warak dan berani, yang juga sangat penting ialah kebijaksanaan. Kerana itu dalam usaha Pemuda PAS mahu mencapai kejayaan dalam perjuangan ia perlu memiliki kebijaksanaan. Semakin besar cabaran, maka semakin diperlukan kebijaksanaan.
Dengan suasana masyarakat majmuk di Malaysia demikian rupa maka tentunya sensitiviti semua pihak sangat perlu dijaga. Tetapi dengan sifat wasatiyah – sederhana, seimbang, pertengahan – yang dimiliki oleh Islam, saya kira, Pemuda PAS tidak sukar berinteraksi dengan pelbagai kaum dan agama di negara ini. Lebih-lebih lagi PAS sendiri bukan sebuah parti perkauman, malah berslogankan ‘PAS For All’.
Tentunya Pemuda PAS memahami maksud ‘PAS For All’ yang bermakna PAS terbuka kepada semua rakyat Malaysia, di mana mereka yang bukan beragama Islam ada ruang menyokong perjuangan PAS melalui ‘Himpunan Penyokong PAS’ di bawah Lajnah Perpaduan Nasional pimpinan Dr. Mujahid Yusof Rawa. Pemuda sewajarnya memanfaatkan lajnah ini untuk berinteraksi dengan golongan bukan Islam.
Memang Dewan Pemuda tetap kekal dengan fungsi utamanya - berada di barisan depan membela Islam, tetapi dalam masa yang sama ia juga mesti dilihat berjuang menegakkan keadilan merentasi kaum dan agama. Di sinilah sekali lagi sangat diperlukan kebijaksanaan Pemuda PAS dan di sinilah juga wajar diperlihatkannya dengan nyata pengertian wasatiyah yang disebut di dalam Al-Quran.
Jika ini berjaya dilakukannya, maka tidak dapat tiada Pemuda PAS memiliki kebijaksanaan, keberanian dan keunggulan.
Muktamar Pemuda dan seterusnya muktamar penuh akan menyaksikan siapakah bakal memimpin Pemuda yang akan dipilih, justeru mereka memikul amanah yang demikian penting. Maka itu di sinilah, hak perwakilan memilih saf pimpinan Pemuda yang paling terbaik dari yang sekian ramai yang terbaik.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan