29 Oktober 2013

Firefly yakin laluan JB-Pekanbaru buka peluang


24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

PEKANBARU (RIAU) - Syarikat penerbangan komuniti, Firefly, yakin laluan Johor Baharu-Pekanbaru yang dilancarkan Ogos lepas, akan membuka lebih banyak ruang pelaburan dan pelancongan antara Johor dan Riau, Indonesia.
   
Ketua Pegawai Komersil Firefly, Azman Ahmad berkata, penerbangan pada kadar serendah RM99 berkenaan mendapat respons yang baik setakat ini dan promosi kini sedang digiatkan bersama ejen pelancongan serta hotel bagi menarik lebih ramai pihak berkunjung ke dua-dua kawasan.

"Riau sebagai antara pengeluar utama kelapa sawit mentah Indonesia serta kaya dengan minyak dan gas, menjadi destinasi pilihan rakyat Johor untuk melabur, melancong, membeli-belah dan membuat rawatan kecantikan, khususnya di Pekanbaru," katanya.
   
Azman berkata demikian kepada 23 pemberita Johor yang mengikuti rombongan bersama Firefly, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Johor ke Pekanbaru, baru-baru ini.
   
eliau berkata, selain mempunyai hubungan sejarah yang rapat antara kerajaan Johor-Riau dan tarikan pelancongan seperti Taman Tema Legoland, Johor Baharu pula menjadi pilihan terbaharu penduduk Riau untuk mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan berbanding Melaka dan Kuala Lumpur sebelum ini.
   
Beliau berkata, untuk itu, pihaknya bersedia meningkatkan laluan Johor Baharu-Pekanbaru-Johor Bahru setiap hari berbanding hanya tiga kali seminggu ketika ini, sekiranya mendapat permintaan.
   
Katanya, buat permulaan, Firefly juga bekerjasama dengan Hotel Grand Hawaii, Pekanbaru bagi menawarkan pakej penerbangan serta penginapan pada kadar yang menarik kepada pengunjung Malaysia.
   
"Kita sudah bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dalam mempromosi laluan ini, dan kerjasama seumpama ini kita teruskan kepada ejen pelancongan dan hotel sepanjang tahun kerana kita yakin ia akan mendapat sambutan memandangkan jarak penerbangan yang singkat di samping harga yang berpatutan," katanya.
   
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Grand Hawaii Achmad Irawan berkata pihaknya menyasarkan peningkatan 10 hingga 15 peratus pengunjung sebulan ke hotel bertaraf tiga bintang itu menerusi kerjasama antara Firefly.
   
Beliau berkata, hotel itu di Jalan Gatot Subroto di pusat bandar Pekanbaru itu menawarkan bilik serendah 288,000 Rupiah selain beberapa kelebihan termasuk berkedudukan hanya 50 meter dari Mall Pekanbaru dan 20 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II.
   
Katanya, buat masa ini pihaknya merancang untuk menyediakan perkhidmatan spa dan pengangkutan dari hotel ke lapangan terbang sebagai kemudahan kepada pengunjung.  - Bernama

Tiada ulasan: