23 November 2013

Bukan isu Erdogan dan ulama tapi Mr Arrogant

19 Muharram 1435H. [MOD] -

SHAH ALAM: PAS Terengganu menyifatkan apa yang dikatakan konflik dalaman bukan kerana isu Erdogan dan ulama tetapi munculnya Mr. Arrogant di dalam PAS.

Menurut perwakilannya, Hishamuddin Abdul Karim (gambar), Mr. Arrogant inilah yang telah muncul di dalam PAS dan menguasai diri dalam pimpinan parti itu sehingga merasai diri merekalah yang terbaik.

"Tetapi sebenarnya pimimpin parti dan ahli PAS telah melahirkan Mr. Arrogant dalam diri. Bolehkah kita setia dan sayangkan jemaah mengatasi kepentingan diri sendiri. 

“Ya, saya menaruh keyakinan Arrogant telah menguasai sebilangan diri kita pada hari ini," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-59, hari ini.

Demi memantapkan kekuatan parti, beliau mencadangkan agar semua pihak berusaha untuk memperkukuhkan wehdatul fikr di kalangan seluruh ahli.

"Berakhirnya muktamar ini, segala konflik dalaman hendaklah ditamatkan segera dan kebumikan terus di stadium ini bagi mengorak langkah yang lebih padu memartabatkan Islam," katanya yang juga Adun Tepoh.

Katanya, penyertaan ke dalam PAS hendaklah berasaskan penyertaan dalam sebuah jemaah Islam yang menuntut ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

"Walaupun kita datang dari pelbagai jemaah yang lain, kepimpinan jamaah yang mesti ditaati dan diberikan sepenuh kepercayaan hanyalah kepada tunggak kepimpinan PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang," jelasnya.

Justeru, PAS Terengganu berharap agar Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden dapat memberikan tumpuan untuk memperkasakan parti dan jamaah dan demikian juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang bakal dipilih selepas ini.

"Binalah kembali kekuatan jamaah yang dicintai ini, kembalikan semangat persaudaraan dan kesetiaan tinggi di kalangan semua ahli jamaah," ujarnya.
Harakahdaily/-

No comments: