23 November 2013

Ketua Dewan Muslimat PAS pertama meninggal dunia

19 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang pertama, Siti Zubaidah Ali, 84, telah meninggal dunia jam 7.15 malam tadi di rumahnya di Telok Gadong, Klang.

Allahyarham merupakan isteri kepada bekas Exco Kerajaan Terengganu, Ustaz Ahmad Azam telah diamanahkan sebagai Ketua Muslimat PAS Pusat dari tahun 1956 hingga 1960.

Dewan Muslimat PAS Pusat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmood berkata, Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-53 telah menyampaikan anugerah Saidatina Khadijah kepada allahyarham bagi mengenang jasa beliau yang banyak melakukan pengorbanan.

"Anak beliau Dr Firdaus memberitahu, allahyarham menitis air mata dan terharu apabila diberitahu Dewan Muslimat memberi anugerah Saidatina Khadijah," katanya.

Beliau berkata, Dewan Muslimat PAS tidak akan melupakan jasa allahyarham sebagai ketua pertama yang merintis jalan menubuhkan Dewan Muslimat demi membantu parti mencapai matlamat perjuangan Islam.

"Allahyarham merupakan seorang daie yang gigih dan tidak berhenti berjuang untuk mendidik masyarakat dalam ilmku agama," katanya.

Menurut beliau, walaupun dalam keadaan kurang sihat allahyarham begitu teruja apabila bercakap tentang perjuangan dan dakwah Islam.

Allahyarham Ustazah Zubaidah mendapat pendidikan Islam di Bukit Tinggi, Sumatera.

Allahyarham bersama Ustaz Azam bergiat dalam politik PAS sejak  tahun 1950-an bermula di Perak.

Allahyarham berpindah ke Terengganu kerana berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Agama Khairiah Gong Kapas, Kuala Terengganu dan akhir di Klang, Selangor.

Tiada ulasan: