23 November 2013

Muktamar terima usul laksana undang-undang syariah

19 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 hari ini menerima usul supaya PAS mendesak Kerajaan Malaysia menggubal serta meminda Perlembagaan Negara bagi membolehkan Undang-undang Jenayah Islam dilaksanakan.

Usul yang dikemukakan oleh PAS Kuala Krau dan Dewan Muslimat PAS Pusat itu diterima sebulat suara agar undang-undang syariah ini menjadi sebahagian daripada undang-undang negara dan mana-mana kerajaan negeri yang ingin melaksanakannya tidak disekat.

Shahril Azman Abdul Hamid yang membentangkan usul itu, turut disokong oleh wakil Dewan Muslimat PAS Pusat, Mumtaz Mohd Nawi serta wakil PAS Klang, Mohd Prasad Hanif.

Sementara itu, wakil PAS Jerlun, Abdul Ghani Ahmad mencadangkan sedikit penambahan, dengan meminta Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat sendiri menyerahkan usul yang dipersetujui di muktamar kali ini kepada Perdana Menteri dalam pertemuan hati ke hati.

Berikut ialah kandungan usul berkenaan.

Menyedari bahawa hak untuk hidup aman, sejahtera dan selamat adalah menjadi impian kepada semua manusia. Manusia memiliki naluri semulajadinya sayang kepada harta dan sangat memerlukan kepada perlindungan diri dalam meneruskan hidup dalam suasana aman dan tenteram.

Menginsafi bahawa kadar kes jenayah di dalam negara semakin hari semakin meruncing dengan kadar jenayah bersenjata api dan pembunuhan sentiasa meningkat seolah-olah rakyat Malaysia tidak takut kepada undang–undang penguatkuasaan dalam negara.

Menginsafi bahawa angka 74,127 kes jenayah dari bulan Januari hingga Jun 2013 semakin membimbangkan keselamatan rakyat yang tidak lagi terjamin

Menginsafi bahawa dapatan kajian yang diperolehi oleh My Watch (sebuah badan pemerhati bebas anti jenayah) adalah berbeza serta meningkat dari masa ke semasa walaupun statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia(PDRM) menunjukkan penurunan indeks jenayah dari tahun 2009 – 2013.

Menginsafi juga masyarakat kini hidup dalam situasi penuh ketakutan dan tahap kebimbangan yang sangat tinggi.Setelah operasi khas bergelar “cantas” dilakukan sehingga berjaya memberkas lebih lapan ribu yang disyakki sebagai anggota kongsi gelap dan penjenayah berat namun kes-kes berprofail tinggi masih terus berlaku dan ianya menampakkan jalan buntu untuk dibendung jauh sekali untuk dihapuskan.

Menyedari bahawa pelbagai cara dibuat oleh kerajaan dalam membendung jenayah barat ini semakin gagal sekalipun modul penguatkuasaan undang-undang turut menekankan aspek agama, nilai murni dan moral bagi mewujudkan kawalan sosial.

Menyedari bahawa hanya Islam melalui perlaksanaan Syariatnya secara menyeluruh sahaja yang mampu membendung gejala ini, maka PAS Kawasan Kuala Krau besama Dewan Muslimat PAS Pusat mengusulkan dalam Muktamar ini mendesak Kerajaan Malaysia menggubal serta meminda Perlembagaan Negara bagi membolehkan Undang-undang Jenayah Islam menjadi sebahagian daripada Undang-undang Negara serta tidak menyekat perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam di negeri-negeri yang ingin melaksanakannya.

Tiada ulasan: