23 November 2013

Majlis Syura Ulamak disaran kaji kempen burukkan calon

19 Muharram 1435H. [MOD] -

SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Pusat mencadangkan supaya Majlis Syura Ulamak mengkaji dan meneliti penyebaran kempen yang tidak sihat sehingga ke tahap memburuk-burukkan calon tertentu.

Perwakilan DMPP, Ustazah Dr Asiah Ali menegaskan, kempen memburuk-burukkan calon itu amat bahaya jika tidak dibendung segera ia akan menjadi budaya yang tidak sihat dalam PAS.

Hal ini kerana kata beliau, menjelang pemilihan penyebaran sms di `whatsapp dan facebook' mengenai kempen untuk Jawatankuasa telah dilakukan secara tidak sihat.  

Dalam perbahasan menyokong ucapan dasar Presiden katanya, jika ahli dan pimpinan PAS ingin menjadi sebahagian daripada mata rantai perjuangan maka wajib mereka mencerna Perlembagaan dan merencana gerakan selari dengan usaha-usaha yang dinyatakan dalam Perlembagaan PAS.

Beliau menegaskan AJK PAS Pusat juga harus mengawal dan menjaga diri daripada mengeluarkan ucapan atau pandangan peribadi termasuk melabel calon tertentu agar tidak melepasi batasan yang boleh mengeruhkan hubungan berjemaah.

"Kita mahu sistem tabbayyun dan mekanisme pengesahan isu dan info diwujudan serta penerangan sepatutnya menjadi rujukan pusat info sepadu segera di peringkat pusat dan negeri untuk mengelakkan kekeliruaan," katanya.

Beliau mengakui peranan jentera Halwa dan JPRM Pusat dalam membantu kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat adalah suatu yang tidak boleh dipertikai.

Katanya, keupayaan Halwa khususnya menguasai parti dalam program ziarah dan kempen dari rumah ke rumah bertemu pengundi adalah bukti kejayaan pentarbiyahan individu secara langsung.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: