16 Januari 2014

Angin Kencang, Laut Bergelora Berterusan Sehingga Isnin

14 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori ketiga yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, kawasan pedalaman Pantai Barat dan Kudat di Sabah, Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Isnin depan.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pada Rabu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak melebihi 5.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk perkhidmatan feri.

"Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," menurut kenyataan itu.
Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang melanda perairan Sandakan di Sabah juga akan berterusan sehingga Isnin depan dengan keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 hingga 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5m.
Keadaan ini juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.
Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori pertama juga akan berterusan sehingga Isnin di kawasan perairan Tawau, Semporna dan Lahad Datu di Sabah dengan kelajuan angin 40 dan 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian 3.5m. - BERNAMA

Tiada ulasan: