16 January 2014

Terkejut guna wang palsu

14 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

  • Terkejut guna wang palsuSukar dibezakan wang didakwa palsu (atas) dan wang asli kecuali wang asli kelihatan lebih panjang.

KUANTAN – Seorang kakitangan awam, Mohammad Naharuddin Awang, 48 terkejut apabila wang kertas RM20 yang digunakan untuk membayar barangan di sebuah pasaraya di dakwa palsu oleh kakitangan premis berkenaan.

Setelah diteliti oleh jurujual bertugas, wang kertas berkenaan dikembalikan semula kepadanya dan dia terpaksa menggunakan wang lain walaupun pada pandangan mata kasar duit itu kelihatan tulen.

Mohammad Naharuddin berkata, pada 11 Januari lalu dia mengunjungi sebuah kedai makan di sekitar daerah ini untuk membeli makanan dan menggunakan wang RM50.

Menurutnya, tanpa sebarang syak wasangka wang baki bernilai kira-kira RM30 termasuk sekeping RM20 diterima dan terus disimpan.

“Kira-kira jam 10.00 malam saya bersama keluarga ke sebuah pasaraya di Tanah Putih dan saya menghulurkan sekeping RM20 kepada anak untuk membuat bayaran.

“Jurujual bertugas terus menilik wang kertas berkenaan dan memanggil penyelia bagi memastikan sama ada ia palsu atau wang asli.

“Setelah diperiksa, penyelia berkenaan memulangkan wang berkenaan memandangkan kemungkinan besar ia adalah palsu,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya rasa pemilik kedai sendiri tidak tahu sekiranya wang itu adalah palsu dan jika ada satu tidak mustahil masih banyak di pasaran.

“Saya juga bertindak membuat laporan polis di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi mengelak wang berkenaan terus digunakan dalam pasaran dan tidak mahu lebih ramai terkena.

“Pihak polis memaklumkan wang berkenaan akan dihantar ke bank negara untuk diselidik bagi memastikan statusnya.

“Dari pandangan mata kasar, memang tiada langsung perbezaan jika dibandingkan dengan wang kertas RM20 yang asli tetapi bentuknya sedikit pendek dan terdapat hanya sedikit sahaja perbezaan.

“Pada kebiasaannya hanya wang bernilai RM50 dan RM100 mempunyai mesin pengimbas bagi memastikan ia palsu atau tidak tetapi RM20 peniaga tidak menggunakannya,” katanya.

Sinar Harian.

No comments: