16 Januari 2014

Bekas TMB Kelantan terlantar di hospital

14 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, 74, kini terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akibat masalah tulang punggung.

Menantunya, Zuraidin Abdullah berkata, bapa mertuanya dikesan menghidapi masalah tersebut akibat terjatuh selepas menghadiri mesyuarat di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur tahun lepas.

“Beliau terjatuh ketika hendak turun dari kereta. Selepas seminggu

kejadian baru beliau terasa sakit. Kini beliau lebih banyak berbaring kerana tidak boleh duduk lama.

“Duduk dalam seminit dua dah terasa sakit. Sekarang badannya pun agak kurus berbanding sebelumnya kerana sudah lima minggu terlantar di hospital,” katanya di sini.

Sebelum ini Abdul Halim yang juga bekas anggota parlimen Pengkalan dan Adun Kijang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat masalah jantung.

Beliau dirawat di CCU selama dua minggu. Sekarang keadaan jantungnya semakin pulih. Beliau juga mengidap diabetis sejak beberapa tahun lalu.

Ketika di HUSM beliau diziarahi Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Zuraidin berkata, selepas empat minggu dirawat di HUSM Ustaz Abdul Halim kemudian dipindahkan ke HRPZ II bagi menjalani rawatan tulang punggung retak.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: