16 Januari 2014

ICJ sahkan sijil iktiraf 'Sultan Melaka' palsu

14 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

MELAKA: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan sijil pengiktirafan sebagai waris kesultanan Melayu Melaka milik Noor Jan Tuah (gambar) adalah palsu.
  
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka telah menerima surat daripada pihak ICJ di the Hague, Belanda, pada Sept tahun lepas menyatakan Noor Jan sebagai pembohong.
  
"Kenyataan Noor Jan adalah pembohong besar jelas dinyatakan dalam pengakuan pihak ICJ yang ditulis kepada kami," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini, semalam.

Baru-baru ini, Idris menerima surat daripada Noor Jan yang mahu perbincangan dilakukan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai 'Sultan Melaka' kerana mendakwa beliau telah mendapat pengiktirafan daripada ICJ. 

Noor Jan, 57, bagaimanapun ditahan polis pada 10.50 pagi kelmarin di jeti Anjung Batu, Umbai dekat sini sebelum sempat menaiki bot ke Pulau Besar untuk melakukan aktiviti bersama pengikutnya.

Polis semalam mendapat kebenaran Mahkamah Majistret bagi menahan reman Noor Jan selama empat hari untuk membantu siasatan kes dia mendakwa dirinya Sultan Melaka.
  
Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan negeri Melaka akan tetap melakukan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 secara bersemuka kepada rakyat negeri itu berbanding penggunaan kaedah penyaluran ke akaun bank.
  
Beliau berkata proses penyerahan akan dibuat seperti sebelum ini melalui wakil rakyat dan pegawai kerajaan yang turun padang untuk menyerahkan baucar tunai kepada penerima.
  
"Kaedah ini dilakukan bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara wakil rakyat dengan penduduk negeri ini di samping kami menggunakan masa ini untuk menyatakan rasa terima kasih kami kepada pengundi," katanya.
  
Beliau berkata setakat ini, seramai 185,000 pemohon telah mendaftar bagi mendapat BR1M di negeri ini.
  
Kerajaan sebelum ini memperkenalkan langkah terbaru penyaluran BR1M ke akaun bank penerima bagi mengelak mereka beratur panjang di program tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: