16 January 2014

Tembakan di Bangkok, 2 cedera

14 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

BANGKOK 15 Jan. - Sekurang-kurangnya dua orang cedera dalam satu kejadian tembakan, ketika tunjuk perasaan antikerajaan melancarkan bantahan besar-besaran yang diberi nama 'Tutup Bangkok', yang masuk hari ketiga di ibu negara Thailand, awal pagi ini.

Sumber pusat kecemasan di bandar Erawan melaporkan, seorang lelaki dan wanita dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan kecil akibat ditembak pada tengah malam tadi.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa dibenarkan keluar hospital tidak lama kemudian.



Media tempatan melaporkan, lelaki berkenaan merupakan pekerja pengangkut sampah, manakala wanita itu adalah salah seorang peserta tunjuk perasaan.

Siaran televisyen turut menunjukkan imej kesan tembakan yang dilepaskan oleh kumpulan bersenjata yang tidak dikenali.

Kejadian itu berlaku tidak sampai 24 jam, selepas bahan letupan buatan sendiri, dipercayai bom kecil atau mercun, meletup di sebuah rumah milik keluarga ketua pembangkang, Abhisit Vejjajiva, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Kedua-dua insiden berkenaan berlaku ketika pemimpin-pemimpin penunjuk perasaan bersiap sedia untuk berarak ke kawasan penempatan golongan mewah di Bangkok, sebagai usaha mereka mendesak Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra berundur.

Ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berkata, beberapa kumpulan penunjuk perasaan akan berada di beberapa kawasan penempatan terbabit, manakala selebihnya akan menuju ke bangunan-bangunan kerajaan.

Thaugsuban turut berkata, pihaknya tidak akan terlibat dengan tindakan segelintir penunjuk perasaan antikerajaan tegar yang mahu berdemonstrasi di lapangan terbang atau bursa saham.

"Sebarang gangguan terhadap orang awam dan pelancong asing akan dikurangkan sebaik mungkin," katanya. - AFP

No comments: