16 January 2014

Kajian Menunjukkan Malaysia 'Paling Gemuk' Di Asia Tenggara, Amal Tabiat Pemakanan Tidak Sihat

14 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

PETALING JAYA: Selain terjejas oleh obesiti dan kencing manis, rakyat Malaysia juga mengambil pelbagai makanan yang tidak berkualiti dan bernutrisi tinggi, menurut laporan kualiti makanan di seluruh dunia, Oxfam International.
Kajian dan penyelidikan oleh kumpulan penyelidik kemiskinan dan bantuan bencana yang berpangkalan di United Kingkom (UK) yang baharu sahaja didedahkan ini menunjukkan Malaysia berada di kedudukan 44 dalam 125 negara. (Lebih tinggi skor indeks, lebih teruk kedudukan negara)


Dengan tajuk 'Good Enough to Eat Index', ia menunjukkan Malaysia memperoleh 76 daripada 100 skor di bawah kategori kepelbagaian diet, yang menunjukkan walaupun makanan adalah cukup di Malaysia, pilihan pelbagai makanan bagaimanapun tidak berkhasiat.
Kemampuan makanan juga seolah-olah menjadi masalah bagi Malaysia, apabila negara memperoleh skor yang lebih tinggi daripada purata 57 dari segi tahap harga.
Tahap ini, menurut Oxfam adalah relatif kepada barangan dan perkhidmatan lain.
Kecenderungan untuk harga makanan turun naik bagaimanapun rendah, dengan Malaysia mendapat skor 14.
Malaysia juga didapati berada pada anak tangga yang lebih rendah dalam kategori obesiti dan kencing manis, dengan masing-masing mendapat 29 dan 37 skor.
Menurut laporan, kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah pesakit kencing manis.
Angka ini dijangka mencecah 4.5 juta pada tahun 2020.
Malaysia turut disenaraikan negara 'paling gemuk' di Asia Tenggara dan yang keenam di rantau Asia Pasifik.
Walaupun kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia tidak menghidap sebarang kekurangan zat makanan, tetapi menunjukkan sebilangan kanak-kanak yang kurang berat badan dengan skor 28.
Negara ini juga secara keseluruhannya berkongsi tempat ke-44 dengan enam negara lain: Maldives, Kazakhstan, Mexico, Moldova, Rusia dan Chile.
Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Thailand, yang menduduki tempat ke-42 di seluruh dunia.
Negara jiran, Filipina (67), Vietnam (71), Indonesia (83) dan diikuti Laos (112).
Singapura dan Myanmar tidak termasuk dalam senarai.
"Walaupun dalam zaman moden dan kemajuan teknologi, kita masih gagal untuk menyediakan rakyat dengan makanan asas yang mereka perlukan untuk terus hidup dan makan secara sihat," kata kenyataan Oxfam.
Dalam perbandingan yang dibuat, Belanda mendapat tempat yang pertama sebagai negara yang mempunyai makanan yang paling berkhasiat dan sihat.

No comments: