11 Oktober 2021

Basikal 100 tahun sertai kayuhan Hari Sukan

 

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: 
Sebuah basikal yang pernah digunakan tentera British dipercayai berusia lebih 100 tahun antara 30 basikal tua mengambil bahagian dalam acara kayuhan sempena sambutan Hari Sukan peringkat Jajahan Pasir Puteh.


Pemilik basikal berkenaan Shaari Awang Ali berkata, basikal itu dianggar berharga kira-kira RM5,000 dijadikan sebagai kenangan kerana mempunyai banyak nilai sejarah.

“Pada saya basikal ini sangat bernilai kerana ia hanya digunakan tentera British ketika urusan rasmi sahaja,” katanya kepada pemberita pada program Kayuhan Basikal Tua yang diadakan di Dataran Tok Janggut di sini semalam.

Beliau yang juga Penasihat Kelab Basikal Tua Pasir Puteh berkata, bagaimanapun enggan menjualnya biarpun ada pihak berminat membelinya.

Menurutnya basikal berkenaan berjenama BSA buatan England di mana kompenannya masih lengkap, pernah diundang menyertai pertunjukan pada hari-hari bersejarah termasuk sambutan ambang kemerdekaan di Kota Baharu.

Sementara itu pengerusi kelab berkenaan, Zakaria Che Othman berkata, kayuhan sempena Hari Sukan itu membabitkan sejauh 9 kilometer dengan menyusuri pinggir Bandar Pasir Puteh termasuk kawasan perumahan Bukit Gedombak.

Kata beliau pihaknya bersedia untuk menimbang sebarang jemputan daripada mana-mana pihak yang berminat dengan pertunjukan kenderaan lama, lebih-lebih lagi berkaitan dengan sejarah negara yang sukar diperolehi sekarang. – HARAKAHDAILY 10/10/2021

Tiada ulasan: