Alor Setar: Memperoleh pendapatan sekitar RM50,000 sebulan menyebabkan seorang lelaki tidak serik memproses dan menjual air ketum walaupun pernah ditahan polis sebelum ini.
Lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai sudah 11 tahun melakukan kegiatan itu di stor yang dibina khas bersebelahan rumahnya di Tebengau di sini.
Malah, air ketum itu bukan saja dijual dengan harga RM3 sebungkus kerana mendapat keuntungan lebih kerana turut dicampur minuman berkarbonat serta ubat batuk yang dipanggil 'cakoroi' kerana ia lebih khayal berbanding biasa.
Lelaki itu dikatakan turut memasang hampir 10 buah kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan rumah, stor dan kedai makan miliknya itu untuk memantau pergerakan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, 'port' memproses daun ketum itu diserbu polis sekali lagi pada jam 11.10 pagi hari ini berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan oleh Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah.
Beliau berkata, hasil maklumat yang diperolehi mendapati pemilik stor itu dipercayai memproses air ketum dua kali sehari di stor itu malah turut menghantar bekalan di sekitar daerah Kota Setar, Jitra, Sungai Petani, Yan, Baling, Kulim dan Ipoh di Perak.
"Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu dipercayai melakukan kegiatan itu sudah lama iaitu hampir 11 tahun menjalankan kegiatan itu kerana mampu mengaut keuntungan yang banyak.
"Berikutan itu, polis merampas 1,348 bungkusan air ketum, 100 kilogram daun ketum dan 170 botol ubat batuk serta segala peralatan yang digunakan untuk memasak daun ketum berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau berkata, dia memperoleh daun ketum kebun miliknya sendiri selain membeli melalui penduduk kampung dengan harga RM10 sekilogram.
Difahamkan suspek mampu menghasilkan 5,000 bungkus air ketum sehari yang dijual RM3 sebungkus.
hmetro.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan