PASIR PUTEH: Ketam nipah dikatakan luar biasa laris ketika musim pandemik Covid-19, menjadikan harganya melambung tinggi mencecah RM80 sekilogram berbanding RM40 hingga RM50 sekilogram sebelum ini.
Selain dicari pembeli untuk dijadikan penawar kepada demam denggi, ketam tersebut kini menjadi rebutan kerana ada yang percaya ia berupaya menjadi rawatan alternatif kepada pesakit Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penjual ketam di Lagun Kuala Semerak, di sini, Izman Fikri Mohamad, 20, berkata, dia tidak tahu sejauh mana kesahihan khabar angin itu yang didengarinya dari pelanggan.
Namun katanya, disebabkan khabar angin itu, ketam nipah kini berharga premium dan jika dibeli borong dalam kuantiti yang banyak di mana-mana lokasi sekalipun, harganya tetap mahal.
“Harga pasaran ketam gred A mencanak sehingga RM80 untuk sekilogram iaitu dalam dua atau tiga ekor ketam bersaiz besar manakala ketam gred B RM70 sekilogram dan gred C RM55 sekilogram.
“Ketam saiz kecil pula harganya antara RM35 hingga RM45 sekilogram” katanya ketika ditemui di gerainya di sini semalam.
Izam Fikri berkata, sebelum ini dia hanya mendapatkan bekalan ketam nipah di sekitar Sungai Semerak namun disebabkan permintaan tinggi, dia terpaksa mencarinya sehingga ke Setiu, Terengganu.
Dalam sehari, sejumlah 200 kilogram ketam laris terjual, sama ada kepada pembeli yang membuat tempahan dalam talian ataupun orang ramai yang singgah di gerainya yang terletak di tepi Jalan Tok Bali – Kuala Besut.
“Kalau dahulu ketam nipah gred A harganya cuma RM40 hingga RM50 sekilogram. Saya tidak sangka harganya boleh melambung tinggi hingga RM80 sekilogram di musim pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Izman berkata, rata-rata pembeli memberitahunya, jika mahu menjadikan hidangan itu sebagai ubat, mereka sekadar memasak ketam nipah dengan cara merebus bersama beberapa bilah serai sebelum menghirup supnya.-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan