ALOR SETAR: Polis mengingatkan orang ramai yang belum divaksin supaya jangan cuba menggunakan kad vaksinasi palsu kerana boleh diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya tidak menafikan cubaan itu mungkin akan ada namun sekiranya ditahan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut akta itu.
"Kita mempunyai empat pasukan pemantau dan dua pasukan akan bertugas setiap hari untuk melakukan pemeriksaan di pasar raya, kedai makan dan hentian lebuh raya untuk memastikan mereka sudah lengkap dua divaksin.
"Selain itu, kita akan tambah pasukan pemantau di peringkat balai dan kita ada sembilan balai di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan masing-masing akan tubuhkan pasukan pemantau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu penutupan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, tengah malam tadi.
Hadir sama, Timbalannya, Superintendan Mohd Redzuan Salleh.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, tiga SJR iaitu Plaza Tol Alor Setar Utara, Plaza Tol Alor Setar Selatan dan Plaza Tol Hutan Kampung ditutup sepenuhnya jam 12 tengah malam tadi.
Beliau berkata, semua 240 anggota yang terbabit ketika penugasan COVID termasuk SJR akan pulang ke unit masing-masing.
"Walaupun SJR dan penugasan COVID dah tamat namun tugas polis tidak terhenti di sini malah pemantauan akan berterusan termasuk pemeriksaan mengejut (snap check) akan dilakukan," katanya.
Ahmad Shukri berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengguna jalan raya yang pulang ke kampung dan memasuki daerah Kota Setar akan bertambah hujung minggu ini termasuk yang hendak ke Langkawi melalui Kuala Kedah.
bharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan