11 Oktober 2021

Terdapat 1.2 juta individu belum divaksin

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ketika negara mencapai sasaran 90 peratus indvidu dewasa yang lengkap menerima vaksinasi COVID-19, semalam, masih terdapat 5.2 peratus individu yang tidak divaksin.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, setakat jam 11.59 malam tadi, peratusan berkenaan membabitkan kira-kira 1.224 juta penduduk dewasa di seluruh negara.

Mengikut data yang dikongsikan, Sabah adalah negeri yang terendah dari segi jumlah populasi dewasanya yang lengkap divaksinasi iaitu 65.1 peratus, diikuti Kelantan (73.6 peratus), Kedah (79.5 peratus) dan Perak (79.8 peratus).

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, pihaknya optimis semua negeri akan mencapai kadar vaksinasi lengkap 80 peratus pada bulan ini, kecuali Sabah.

Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggiatkan program jangkau luar (outreach) di negeri itu, termasuk kempen gerak vaksinasi kepada masyarakat.

Sementara itu, seramai 21,073,482 individu dewasa di negara ini lengkap divaksinasi sehingga semalam, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus yang ditetapkan.

Peratusan itu dicapai selepas 70,408 individu melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka semalam, yang membolehkan perjalanan rentas negeri dan keluar negara dibenarkan bermula hari ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, seramai 22,185,520 individu dewasa sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 7.4 peratus sudah lengkap divaksinasi membabitkan 231,714 individu, sehingga semalam, manakala 72.2 peratus atau kira-kira 1.27 juta sudah menerima satu dos vaksin.

PICK Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 September lalu, yang mensasarkan 3.2 juta remaja di negara ini untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

bharian/-

Tiada ulasan: