03 November 2021

Belanda kembali kuat kuasa peraturan Covid-19

 MARK Rutte. FOTO EPA

MARK Rutte. FOTO EPA

The Hague: Belanda menguatkuasakan semula peraturan Covid-19 berikutan lonjakan drastik kes pandemik di negara itu.

Perdana Menteri, Mark Rutte berkata, peraturan itu termasuk keperluan memakai pelitup muka di tempat awam untuk memerangi lonjakan kes.

"Ia tidak memberi kejutan yang kami ada mesej sukar malam ini.

"Jangkitan dan kemasukan ke hospital meningkat dengan cepat," katanya dalam sidang akhbar

Katanya, kerajaan juga memperkenalkan semula penjarakan fizikal 1.5 meter serta pas Covid-19 di tempat kunjungan ramai seperti muzium dan restoran.

Rutte berkata, pelitup muka kini diperlukan sekali lagi di kedai dan untuk profesion termasuk pendandan rambut dan pusat urut.

"Mereka masih diwajibkan menaiki pengangkutan awam, walaupun tidak di stesen atau di platform.

"Pekerja seks di Belanda (sektor pelacuran adalah sah di negara itu) bagaimanapun akan terus dikecualikan daripada peraturan memakai pelitup muka.

"Orang ramai juga dinasihatkan bekerja dari rumah, sekurang-kurangnya separuh dalam tempoh seminggu, untuk mengelak perjalanan ketika waktu puncak," katanya.

Langkah itu menjadikan Belanda antara negara pertama di Eropah barat melaksanakan semula sekatan tidak sampai dua bulan, selepas melonggarkan peraturanCovid-19 secara drastik.

Selepas pengumuman itu, polis ditempatkan bagi mengawal rusuhan kecil di luar kementerian keselamatan dan kehakiman.

Sebelum ini, Belanda melaksanakan sekatan paling longgar di Eropah pada awal pandemik tetapi diperketatkan secara drastik termasuk perintah berkurung pertama negara itu sejak Perang Dunia Kedua, ketika gelombang kedua tahun lalu.

September lalu, kerajaan menamatkan penjarakan fizikal serta memperkenalkan pas Covid-19 yang menunjukkan bukti vaksinasi, pulih daripada virus itu atau keputusan ujian negatif untuk memasuki restoran, bar dan mana-mana festival.

Kerajaan berkata, dos penggalak vaksin Covid-19 untuk mereka yang berusia lebih 60 tahun akan dimulakan.

Data pihak berkuasa kesihatan awam menunjukkan, Belanda merekodkan purata 7,711 ujian Covid-19 positif setiap hari sepanjang minggu lalu iaitu meningkat kepada 39 peratus daripada minggu sebelumnya.

Setakat ini, negara yang mempunyai 17 juta populasi itu merekodkan 18,441 kematian akibat pandemik itu.

HMETRO.

Tiada ulasan: