03 November 2021

Berjalan guna bola keluli selama 91 hari ke Glasgow

 

ARND Drossel bertemu dengan ratusan orang sepanjang perjalanan selama tiga bulan ke Glasgow. - NEWSFLARE

LONDON: Seorang artis di Jerman nekad berjalan kaki ke Glasgow menggunakan sebuah bola keluli gergasi sebesar 30.48 sentimeter (cm).

Lapor Daily Mail, perjalanan yang mengambil masa selama tiga bulan itu bagi menggalakkan orang ramai memelihara kelestarian alam.

Arnd Drossel, 53, menghasilkan bola keluli seberat 160 kilogram (kg) yang kelihatan seperti bola hamster untuk melakukan perjalanan dari Paderborn di Jerman ke bandar Glasgow, Scotland sempena Persidangan Perubahan Iklim COP26. 

Drossel memulakan projek My Promise Mother Earth yang menyaksikan artis itu bercakap dengan ratusan penduduk sepanjang perjalanannya selama 91 hari dan meminta mereka berjanji untuk menjaga sumber alam.

Drossel bertolak dari Paderborn pada Julai lalu bersama bola keluli yang dihasilkan dengan anaknya, dan sudah mengembara lebih 1,448 kilometer (km) melalui Eropah, United Kingdom (UK) dan Ireland Utara untuk meningkatkan kesedaran mengenai kempennya.

Satu rakaman video menunjukkan pencinta alam sekitar itu tiba di Glasgow pada Ahad lalu.

Video tersebut juga menunjukkan Drossel berjalan di sekitar Glasgow dalam bola keluli gergasi itu.

Menurut Drossel, dia mahu mendapatkan sebanyak mungkin janji untuk ‘masa depan generasi muda’ dan berharap dapat meraih sehingga satu juta janji ketika sampai ke Glasgow.

“Tiga bulan lalu, saya bertolak dari Paderborn dan sudah melalui lebih 60 bandar.

“Sepanjang perjalanan itu, saya juga mengunjungi sebanyak tujuh negara dengan bola keluli gergasi itu dan menjemput ratusan orang untuk berjanji mengamalkan kehidupan lebih lestari,” katanya.   

UTUSAN.

Tiada ulasan: