MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata pegawai kerajaan tempatan akan dihukum jika gagal menepati sasaran pemberian vaksin COVID-19 ketika negara itu berusaha untuk membuka semula ekonominya.
Filipina, antara negeri yang teruk dilanda pandemik COVID-19 di rantau Asia, setakat ini sudah memberi imunisasi sepenuhnya kepada lebih satu pertiga daripada 77 juta rakyatnya yang layak menerima suntikan itu.
Duterte berkata, tidak ada alasan mengapa kadar vaksinasi harian tidak boleh ditingkatkan sehingga sekurang-kurangnya satu juta daripada purata 500,000 kerana negara itu mempunyai stok vaksin yang mencukupi.
"Kita dapati ada kelompangan dalam proses vaksinasi dan saya sebenarnya masih tidak berpuas hati," kata Duterte dalam ucapan yang dirakamkan yang disiarkan hari ini, lapor agensi berita CNA.
Duterte berkata, pegawai yang gagal mengagihkan vaksin COVID-19 kepada kumpulan sasar dengan berkesan akan dikenakan tindakan tetapi tidak menyatakan tindakan berkenaan.
Kerajaan Filipina sudah melonggarkan sekatan COVID-19 secara beransur-ansur, dan turut mengumumkan menarik balik perintah berkurung setiap malam yang dikenakan di wilayah ibu negara mulai esok.
Duterte juga mengadakan pasukan polis dan tentera menggunakan pesawat dan helikopter untuk menghantar vaksin dengan lebih cepat ke wilayah lain di negara itu. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan