03 November 2021

Ethiopia isytihar darurat

 

NAIROBI: Kerajaan Ethiopia mengumumkan darurat di seluruh negara selepas tentera Tigray memberi ancaman akan memasuki kawasan ibu negara selepas peperangan semakin meningkat.

Pengisytiharan darurat berkuat kuasa serta merta dan akan dilaksanakan selama enam bulan.

Susulan itu, kerajaan berhak mengenakan perintah berkurung, mengarahkan rakyat menjalani latihan ketenteraan, menggantung lesen media serta menahan sesiapa sahaja yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Amerika Syarikat (AS) menegaskan aspek keselamatan semakin ‘merosot dengan ketara’ dan memberi amaran keras kepada rakyatnya supaya meninggalkan segera negara itu.

Pengumuman tergempar oleh Majlis Menteri Ethiopia adalah tanda paling jelas yang mencemaskan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abiy Ahmed yang setahun lalu pernah membenarkan askar dari negara jiran menyerang wilayah Tigray bersama tentera Ethiopia.

Beribu-ribu orang terbunuh sejak serangan tersebut.

Deklarasi majlis tersebut menjelaskan tentera Tigray dan sekutu mereka menimbulkan bahaya terhadap negara itu.

“Semua orang akan diuji. Deklarasi itu dibuat untuk memendekkan tempoh kesusahan dan memperuntukkan tempoh penyelesaian,” ciap Abiy dalam Twitter.

AS memberi amaran kepada tentera Tigray yang mendominasi negara, sebelum Abiy memegang jawatan terhadap sebarang percubaan untuk ‘mengepung’ ibu negara, Addis Ababa.

Tentera Tigray merampas kawalan di beberapa bandar strategik seperti Dessie dan Kombolcha sejak beberapa hari lalu.

Situasi semasa menunjukkan tentera tersebut bersiap sedia bergerak ke kawasan lebuh raya utama menghala ke ibu negara.-AP

 

Tiada ulasan: