KUALA LUMPUR: Teleport, cabang logistik airasia Digital, memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemain industri kargo dan logistik serantau dengan pelancaran pesawat 737-800 pertamanya hari ini, termasuk rekaan corak yang unik pada badan pesawat.
Rekaan pesawat baharu itu mencerminkan jenama Teleport sebagai penyedia perkhidmatan kargo yang bersedia untuk melakukan penerbangan pertamanya di seluruh laluan utama di Asia.
Rekaan itu juga mewakili falsafah perkhidmatan Teleport dan komitmennya untuk menjadikan Teleport dan AirAsia Group sebagai antara tiga penyedia perkhidmatan kargo teratas mengikut kapasiti di ASEAN.
Penambahan pesawat kargo baharu itu menjadikan jumlah pesawat semasa Teleport kepada 252, termasuk pesawat penumpang AirAsia Group dan akan membolehkan kapasiti yang lebih konsisten pada laluan kargo udara utama di seluruh Asia Tenggara.
Sejak awal 2020, Teleport telah merancang untuk membina rangkaian kargo saja merentasi laluan kargo udara utama di rantau ini untuk menampung permintaan e-dagang dan kargo am yang semakin meningkat.
Teleport juga akan terus meningkatkan keupayaannya untuk bersaing dalam pasaran kargo dan e-dagang yang berkembang pesat di seluruh ASEAN.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Operasi Teleport, Adrian Loretz, berkata pertumbuhan perkhidmatan kargo di pasaran baharu dan peningkatan dalam hasil kargo udara berikutan perkembangan e-dagang dan teknologi dalam teknologi pesawat baharu dan pendigitalan industri telah memacu fokus syarikat.
Beliau berkata, syarikat percaya penambahan pesawat kargo akan mengukuhkan lagi komitmennya dalam industri itu dan menjangka lebih banyak pesawat kargo akan dikendalikan pada masa akan datang.
"Ini bukan saja mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan syarikat tetapi juga membantu mempertingkatkan operasi kami untuk memenuhi keperluan pasaran kargo udara seperti muatan palet, kekerapan penerbangan, jadual penerbangan yang boleh dipercayai dan waktu pelepasan atau ketibaan tertentu," katanya.
Berpangkalan di Bangkok, pesawat itu mampu mencapai pasaran utama termasuk Hong Kong, Shanghai, Chennai, Mumbai dan semua destinasi utama di Asia Tenggara dari Thailand, menghubungkan pasaran jarak jauh ke Asia Tenggara melalui kapasiti kontena.
Selain itu, pesawat berkenaan mempunyai dek utama khas untuk kontena dan kapasiti sebesar 21T maksimum yang mampu membawa barangan di bawah kategori Barang Berbahaya mengikut garis panduan IATA, termasuk bateri Litium.
Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak, berkata penambahan pesawat kargo itu akan memacu visi syarikat untuk beralih daripada penyedia logistik pengangkutan udara kepada pengendali modal-pelbagai yang lengkap.
Beliau berkata, syarikatnya sentiasa berkembang pantas untuk terus memacu perniagaan kargo udara Teleport ke hadapan dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk apa saja ke seluruh Asia Tenggara.
"Kami menjangka perkembangan ini bukan saja akan memperkukuh perkhidmatan Teleport malah memanfaatkan semua pemain industri," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam, berkata pembukaan semula sempadan di seluruh dunia dalam pelbagai fasa, menjadikan pengembangan rangkaian kargo yang lebih kukuh dan berdaya tahan adalah penting untuk memperkasakan jenama Teleport dan AirAsia Group secara keseluruhan.
Beliau berkata, Teleport berada di landasan yang tepat untuk menyumbang kepada kebolehcapaian logistik dan permintaan yang semakin meningkat di rantau ini.
"Jelas sekali Teleport komited untuk menyokong semua jenis, terutamanya dengan pertumbuhan pesat sektor e-dagang dan peningkatan permintaan pada akhir tahun ini," katanya.
Pesawat kargo 737-800 Teleport diperoleh melalui perjanjian beberapa tahun dengan K-Mile Asia, syarikat penerbangan kargo ekspres Thailand, seterusnya membuka jalan untuk pengembangan perkhidmatan kargonya dan menandakan komitmennya sebagai pemain logistik terkemuka di rantau ini.
Mengulas mengenai kerjasama Teleport dengan K-Mile, Adrian menambah, adalah penting bagi pihaknya untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang kukuh seperti K-Mile Asia untuk mengembangkan perkhidmatan logistiknya di seluruh Asia.
Beliau berkata, kepakaran mereka dalam mengendalikan pesawat itu dengan kebolehpercayaan dan ketepatan masa yang tinggi akan membolehkannya melanjutkan jadual perkhidmatan kargo untuk memenuhi permintaan khusus ke bandar utama di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif K-Mile Asia, Kledchai Benjaathonsirikul, berkata pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Teleport dalam menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan kargo ke bandar berbeza di seluruh Asia.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kerjasama jangka panjang itu akan terus mengembangkan industri logistik.
"Perniagaan K-Mile tertumpu pada operasi pengangkutan udara untuk perkhidmatan kargo ekspres dan penerbangan catar, dan kami percaya kami dapat menawarkan kebolehpercayaan dan kualiti yang diperlukan untuk menyokong perkhidmatan penghantaran dan rangkaian Teleport," katanya.
Teleport akan menambah lebih banyak destinasi untuk laluan pesawat kargo ini pada masa akan datang.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan