03 November 2021

Zulkifli, isteri Aliff Syukri berangkat tunai umrah

 Datin Nur Shahida Mohd Rashid (tengah) bersama sebahagian jemaah umrah mendengar taklimat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang tadi. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Datin Nur Shahida Mohd Rashid (tengah) bersama sebahagian jemaah umrah mendengar taklimat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang tadi. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

SEPANG: "Dengan rendah hati, saya mohon semua pihak termasuk keluarga mendoakan agar perjalanan umrah saya mudah dan lancar," kata Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, 36, isteri usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri.

Shahida berangkat ke Tanah Suci petang ini bagi mengerjakan umrah melalui pakej sebuah syarikat umrah yang turut disertai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta beberapa jemaah lain.

Mereka menyertai antara kumpulan pertama dari Malaysia berlepas ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini setelah pembukaan semula sempadan untuk ke luar negara, bermula 11 Oktober lalu.

Kerajaan mengumumkan kebenaran pergerakan merentas negeri termasuk ke luar negara setelah negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus daripada populasi.

Nur Shahida yang sudah menunaikan ibadah umrah lebih 10 kali sebelum pandemik COVID-19, turut teruja apabila kerajaan Arab Saudi membenarkan warga asing untuk beribadah di negara berkenaan.

Menurutnya, ibadah umrah kali ini agak berbeza kerana ia dilakukan dengan norma baharu dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

"Saya juga menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berangkat ke Tanah Suci demi keselamatan diri dan jemaah lain. Pengalaman mengerjakan umrah norma baharu ini akan saya kongsikan dengan orang ramai selepas pulang ke tanah air nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Seramai 11 jemaah mengikuti program umrah anjuran syarikat berkenaan bermula hari ini hingga 15 November depan.

Sementara itu, Fawaz Abd Hamid, 33, berkata selepas tertangguh hampir dua tahun susulan penularan wabak COVID-19, hari ini pihaknya dapat menguruskan jemaah ke Tanah Suci.

"Kami sudah bersiap sedia termasuk pematuhan SOP dalam mengendalikan jemaah ibadah ini. Segala perkembangan dan pengumuman kerajaan berkaitan ibadah umrah sentiasa kami kemas kini, termasuk yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: