14 Disember 2021

Pesona 78 gunung di Malaysia

 Malaysia mempunyai 78 gunung yang berketinggian melebihi 1,000 meter. - Foto/hiasan

PreviousNext

MALAYSIA bertuah mempunyai kira-kira 78 gunung tersergam indah dengan berketinggian melebihi 1,000 meter sekali gus berpotensi sebagai tarikan untuk aktiviti rekreasi dan sukan ekstrem.

Malah kewujudannya amat bermanfaat untuk ekopelancongan bagi merancakkan perkembangan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Pakar Kreatif Ekonomi dan Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, Prof Madya Dr Siti Suriawati Isa, berkata kebanyakan penduduk setempat menyediakan perkhidmatan sebagai penyedia makan, minum, pemandu, pengangkutan dan tempat tinggal kepada pelancong.

"Bagaimanapun, kebergantungan penduduk kepada gunung sangat tinggi dan apabila terjadi malapetaka seperti tanah runtuh di Gunung Kinabalu beberapa tahun lalu, ia menjejaskan pendapatan masyarakat tempatan," katanya.

Elak malapetaka gunung

Bagi menjaga nilai penting gunung sebagai ekopelancongan penting untuk masyarakat di negara ini, cakna menjaga gunung supaya malapetaka lebih besar tidak terjadi.

Katanya, penekanan kepada konsep 'What you bring in you bring out' (bawa keluar setiap yang dibawa masuk), perlu diterapkan bagi memastikan pelancong dan pendaki membawa pulang sampah dihasilkan sepanjang pendakian.

"Ini yang sedang berlaku di beberapa gunung terkenal seperti Everest yang menjadi tidak terurus dengan longgokan sampah pendaki dan mayat pendaki yang meninggal dunia," katanya.

Bernilai dari segi prasejarah

Siti Suriawati berkata, sesetengah gunung memiliki nilai peninggalan sejarah bernilai tinggi dari sudut prasejarah dengan penemuan fosil dan artifak zaman purba.

Jika gunung mempunyai peninggalan sejarah itu ia sangat sensitif dan memerlukan penjagaan sangat rapi.

Justeru, beliau mencadangkan pihak berkuasa memperkenalkan had daya tampung bagi memulihara dan mengawal kerosakan alam sekitar berlaku di kawasan gunung.

"Perlu hadkan pelancong atau pendaki boleh berada di gunung pada satu-satu masa bagi mengawal aktiviti pelancongan berlebihan yang mengakibatkan kerosakan alam sekitar.

"Selain itu, perlu perkenalkan undang-undang yang tidak membenarkan sebarang aktiviti pelancongan di beberapa gunung di Malaysia kecuali untuk tujuan penyelidikan.

"Kita tidak mahu kawasan gunung menjadi terlalu padat dengan aktiviti pelancongan yang boleh memudaratkan alam semula jadi dan manusia," katanya.

Ketatkan penguatkuasaan

Justeru, penguatkuasaan lebih tegas perlu diambil. Akta dan undang-undang yang ada sia-sia sekiranya tiada penguatkuasaan dilaksanakan.

Sambutan Hari Gunung Sedunia setiap 11 Disember diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan memelihara gunung daripada dicemari dan dimusnahkan.

Kempen sayangi atau menjaga gunung perlu dipupuk di pelbagai peringkat termasuk pra-sekolah, peringkat rendah, tinggi dan universiti.

"Untuk impak lebih besar dan berkesan, kempen ini perlu dijalankan secara berterusan bersesuaian golongan yang sasar," katanya.

Info: Antara gunung di Malaysia dan ketinggian

  • Gunung Kinabalu - 4,095 meter (Sabah)
  • Gunung Trusmadi - 2,642 meter (Sabah)
  • Gunung Tambuyukon - 2,579 meter (Sabah)
  • Gunung Murud - 2, 438 meter (Sarawak)
  • Gunung Mulu - 2,376 meter (Sarawak)
  • Gunung Tahan - 2,187 meter (Pahang)
  • Gunung Korbu - 2,183 meter (Perak)
  • Gunung Ledang - 1,279 meter ( Johor)...BHARIAN
  • Tiada ulasan: