SALAM semua, saya tak boleh move on lagi. Sejak mula saya tonton sebahagian sahaja video tular kes buli di sekolah berasrama penuh sehingga hari ini jantung saya berdegup kencang bila saya buka laman instagram atau facebook.
Saya tak mampu untuk menonton video tersebut sampai akhir. Saya tak sampai hati. Terimbas saja gambar remaja berbaju merah itu ia terus menerkam dalam jantung saya. Tak sanggup saya menatap video atau foto itu lagi.
Memangnya sudah ramai yang bersuara mengenai hal buli ini. Sebelum ini wacana-wacana pada peringkat cendekiawan juga tidak ketinggalan. Namun ia semacam bermusim saja.
Sekali kes besar berlaku sekali itu juga kita dibekalkan dengan maklumat berkenaan. Selepas itu suasana menjadi tenang seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Saya percaya pihak berwajib juga telah bertindak. Tindakan telah diambil sewajarnya. Namun yang pasti, apa yang menjadi harapan kita ialah kisah seperti ini tidak lagi berulang. Apa tindakan yang lebih berkesan? Pihak berkuasa yang berkaitan pasti lebih tahu.
Sekiranya kita merujuk kepada undang-undang, mereka yang tahu mengenai kes yang boleh mendatang kecederaan kepada mana-mana pihak, terutamanya pelajar, tetapi mendiamkan diri dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa, maka mereka juga boleh dikatakan sebagai terlibat secara tidak langsung dalam perlakuan jenayah itu.
Satu perkara lagi, mungkin istilah ‘buli’ yang dimaksudkan sebagai perbuatan mendera atau mempermain-mainkan orang lain dengan tujuan menggertak, mencederakan atau menakutkan orang yang lebih lemah adalah terlalu ringan untuk digunakan dalam konteks perbuatan yang mendatangkan kecederaan kepada yang lemah.
Kita mungkin perlu menggunakan istilah yang lebih keras sehingga dapat menunjukkan kesan yang lebih berat akibat perbuatan tersebut. Istilah seperti perbuatan mendatangkan kecederaan lebih sesuai untuk digunakan.
Moga sekolah-sekolah kita tidak lagi mempunyai dan seterusnya melahirkan pelajar kaki mencederakan orang. Sama-sama kita usaha banteras perbuatan mendera dan mencederakan.
PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU AB AZIZ
Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA – HARAKAHDAILY 14/12/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100051068210086/posts/475585167487086/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan