14 Disember 2021

Pelopor kek lapis Sarawak beroperasi di rumah selepas kilang ditutup

 Kedai Pengusaha Kek Lapis yang di miliki Dayang Salhah. FOTO NADIM BOKHARI

Kedai Pengusaha Kek Lapis yang di miliki Dayang Salhah. FOTO NADIM BOKHARI

Kuching: "Apabila perniagaan jatuh merudum, saya hanya fikir perlu bertahan untuk meneruskan legasi (perniagaan) ini," kata pelopor kek lapis Sarawak, Dayang Salhah Awang Weldan.

Dayang Salhah, 57, berkata, perniagaan itu yang diusahakannya sejak 1997 mula terjejas selepas isu penggunaan sejenis mentega yang digunakan bagi menghasilkan kek lapis dikatakan mengandungi DNA babi pada 2011.

"Tambah teruk apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu yang menyaksikan penurunan pendapatan diraih sehingga 90 peratus.

"Hasil jualan yang diraih setiap hari jatuh teruk apabila ada harinya, kami hanya meraih RM50 hingga RM100 sepanjang tempoh PKP," katanya ditemui di rumahnya di sini.

Dayang Salhah berkata, perniagaan yang merudum memaksanya menutup operasi kilang memproses kek lapis dimilikinya pada awal tahun lalu.

"Susulan penutupan kilang itu, saya menjalankan operasi di rumah dengan bantuan tiga pekerja yang menghasilkan 250 loyang kek setiap hari.

"Jumlah itu adalah sedikit berbanding lebih 1,000 loyang sehari yang dihasilkan oleh 20 pekerja di kilang sebelum ini.

"Melihat apa yang berlaku ini mengingatkan saya pada zaman mula-mula saya mengusahakan perniagaan ini dan sekali gus menjadikannya bermula semula daripada kosong," katanya.

Bagaimanapun, Dayang Salhah tetap bersyukur apabila perniagaan itu mula 'hidup semula' selepas kerajaan negeri mengumumkan kebenaran rentas negeri sejak Oktober lalu.

"Sejak pembukaan sempadan negeri, makin ramai pelanggan yang datang berkunjung terutama ketika pilihan raya ini membabitkan petugas dari Semenanjung.

"Saya berharap sempadan negeri akan terus dibuka supaya kami (peniaga kek lapis) boleh terus bangkit semula untuk meneruskan perniagaan ini," katanya.

Menurut Dayang Salhah, pengusaha kek lapis kini berdepan masalah lain apabila berlaku kenaikan harga membabitkan beberapa bahan asas bagi menghasilkan buah tangan wajib dari Sarawak itu.

"Ada barang asas seperti telur sudah naik harga tapi kami masih menjual kek pada harga RM10 setiap potong.

"Situasi ini pastinya mencabar bagi kami dengan perniagaan baru sahaja mahu 'bernafas' semula tetapi wujud pula masalah lain seperti kenaikan harga bahan asas," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: