WASHINGTON: Seramai 27 anggota tentera udara Amerika Syarikat (AS) ditamatkan perkhidmatan kerana enggan menerima vaksin COVID-19.
Tindakan itu dipercayai pertama kali dilakukan terhadap anggota tentera yang aktif bertugas.
Pentagon menjadikan vaksin COVID-19 sebagai perkara wajib bagi anggota perkhidmatan yang aktif bertugas sejak Ogos lalu dan sebahagian besar tentera telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Jurucakap tentera udara, Ann Stefanek, berkata tentera diberi peluang untuk menjelaskan mengapa mereka enggan mendapatkan vaksin, tetapi tiada seorang pun daripada mereka diberi pengecualian.
Kira-kira 97 peratus kakitangan tentera udara divaksin, kadar itu jauh lebih tinggi berbanding populasi AS.
Pasukan tentera udara AS mempunyai kira-kira 326,000 kakitangan yang aktif bertugas.
Secara keseluruhan, 79 anggota tentera beruniform di semua peringkat perkhidmatan meninggal dunia akibat COVID-19.
Sehingga Ahad, AS merekodkan 800,000 kematian berkaitan COVID-19 ketika negara bersiap sedia menghadapi potensi lonjakan jangkitan berikutan lebih banyak masa dihabiskan di rumah dengan cuaca lebih sejuk dan varian Omicron yang sangat mudah menular. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan