Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Berbeza pandangan antara kepimpinan bukan bererti akan berlakunya perpecahan, tegas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.
Beliau menyatakan pandangan itu susulan hubungan antara PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) yang sering diperkatakan.
“Saya yakin jika berlaku selisih faham dan berlainan pandangan antara pemimpin bukan bererti bahawa kita nak tinggal terus MN, malah kita akan terus perjuangan MN.
“Kita akan pertahan MN dan dalam masa yang sama akan perkasakan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Menurut Tuan Guru Hashim lagi, rundingan sentiasa dibuka untuk memperbetulkan mana yang bengkok agar dapat diatasi segera.
“Ruang masih terbuka untuk diadakan pertemuan dan perbincangan,” ujar beliau lagi.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini menyifatkan usaha penyatuan antara PAS dan Umno masih berjalan demi memastikan sokongan Melayu Islam terus memerintah.
Malah Tuan Guru menyifatkan hubungan antara dua parti besar itu masih baik kerana hubungan sedang berlangsung dengan parti bukannya individu. – HARAKAHDAILY 14/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan