JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud melanda timur Indonesia hari ini, menurut US Geological Survey (USGS) dengan pemantau secara ringkas memberi amaran mengenai kemungkinan gelombang tsunami sebelum menarik balik ancaman itu.
Pusat gempa terletak di utara Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur yang mana gempa itu mencetuskan ketakutan selepas melanda pada 10.20 pagi (11.20 pagi waktu Malaysia).
"Saya berada di padang. Orang ramai berlari panik. Saya masih takut," kata Nuraini, penduduk pulau Adonara di Kabupaten Flores Timur.
Tiada kerosakan teruk atau kematian dilaporkan dari kawasan di mana gempa itu dirasai, tetapi pihak berkuasa menggesa penduduk mengambil langkah berhati-hati.
"Di lokasi yang paling hampir dengan pusat gempa... di sana masih selamat, tiada kerosakan," kata ketua daerah Flores Timur, Antonius Hubertus Gege Hadjon kepada Metro TV.
Pihak berkuasa Indonesia menggesa penduduk di kawasan yang terjejas supaya tidak panik tetapi mencari lokasi selamat jauh dari pantai.
"Saya sedang memeriksa telefon saya apabila gempa berlaku. Saya merasakannya selama 30 saat. Ia kuat," kata Alwan, seorang penduduk Buton di Sulawesi Tenggara.
Gempa bumi itu berlaku di Laut Flores pada kedalaman 18.5 kilometer, kata USGS, mengesan pusat gempa sekitar 100 kilometer di utara bandar Maumere.
Menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik gempa itu tidak lagi menimbulkan ancaman tsunami selepas memberi amaran awal bahawa ombak seperti itu mungkin berlaku dalam radius 1,000 km dari pusat gempa.
Indonesia sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Antara rentetan gempa yang membawa maut di Indonesia ialah gegaran bermagnitud 9.1 pada 2004 yang melanda pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 di seluruh rantau ini, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia.
Pada 2018, gempa bumi kuat menggegarkan pulau Lombok dan beberapa lagi gegaran menyusul dalam beberapa minggu selepas itu mengorbankan lebih 550 orang di pulau percutian dan Sumbawa yang berjiran.
Pada akhir tahun itu, gempa bumi 7.5 magnitud dan tsunami berikutnya di Palu di pulau Sulawesi menyebabkan lebih 4,300 orang terkorban atau hilang. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan