JAKARTA: Program vaksinasi COVID-19 untuk 26.8 juta kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun di Indonesia bermula hari ini.
"Kami menjangkakan vaksinasi akan dimulakan pada Selasa (hari ini) di beberapa kawasan yang ditentukan.
"Program akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun depan," kata Pemangku Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Maxi Rein Rondonuwu, dalam satu kenyataan semalam.
Program itu akan dijalankan di wilayah dan daerah/bandar di mana liputan dos pertama melepasi 70 peratus dan liputan vaksinasi dalam kalangan warga emas mencecah melebihi 60 peratus
Pada masa ini, terdapat 106 daerah/bandar di 11 wilayah yang memenuhi kriteria antaranya Banten, Yogyakarta, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Kalimantan Timur, Kepulauan Riau, Nusa Tenggara Barat, Sulawesi Utara, dan Bali.
"Setakat ini terdapat 8.8 juta kanak-kanak dari 106 daerah/bandar raya yang akan divaksin," katanya.
Kementerian Kesihatan memperuntukkan 6.4 juta dos vaksin Sinovac, yang telah menerima kebenaran penggunaan kecemasan (EUA), untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur enam hingga 11 tahun, kata Maxi.
Beliau yakin bekalan vaksin akan mencukupi untuk menjalankan program itu sehingga akhir bulan ini.
"Bagi Januari 2022, akan ada tambahan stok vaksin (yang akan diterima) daripada ketua pengarah farmasi dan peralatan perubatan, dengan itu kita dapat mengekalkan program itu untuk terus berjalan," katanya.
Sementara itu, jurucakap vaksin COVID-19 Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi memaklumkan kanak-kanak akan diberikan 0.5 mililiter (ml) vaksin COVID-19.
Vaksinasi akan diberikan dua kali, dengan sela masa sekurang-kurangnya 28 hari di antaranya, katanya.
Sebelum pemberian vaksin, pegawai vaksin akan menjalankan saringan kesihatan.
Vaksinasi boleh dilakukan di pusat kesihatan masyarakat (Puskesmas), hospital, atau kemudahan penjagaan kesihatan lain, kerajaan dan swasta, termasuk pos dan pusat vaksinasi, kata jurucakap itu.
"Vaksin dijamin selamat dan mampu melindungi kita daripada pandemik, justeru jangan teragak-agak untuk mendapatkan vaksin dan melengkapkan imunisasi rutin kanak-kanak dengan segera," tegasnya.
Pemvaksinan untuk kanak-kanak berumur 6-11 tahun adalah antara usaha untuk membendung penularan COVID-19, kata Siti Nadia.
Pemberian vaksin menjadikan Indonesia antara negara pertama di Asia Tenggara yang memberi imunisasi kepada golongan muda.
Di Asia, China telah mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur tiga tahun ke atas, manakala Kemboja memberi vaksin pertamanya untuk kanak-kanak berumur 6-12 tahun pada September.
Singapura pada minggu lalu melaporkan negara itu akan mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun sebelum akhir tahun ini. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan