05 Januari 2012

Saya tidak akan lari ke negara lain, kata Anwar

11 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengetahui keputusan kes liwat keduanya Isnin ini menegaskan, beliau tidak akan lari ke luar negara seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara jiran.

Sebaliknya Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, beliau akan terus kekal di negara ini dan melawan pihak-pihak yang menindas dan bertindak zalim ke atas rakyat, selain menjadi barisan hadapan menjana perubahan politik dan sosioekonomi negara.

“Ramai sahabat-sahabat saya mencadangkan saya supaya lari ke luar negara, tetapi tindakan ini tidak pernah terlintas di fikiran saya.

"Bagi saya dengan melarikan diri tidak akan menyelesaikan perkara ini.

“Saya tahu risiko jika saya terus tinggal, maka berkemungkinan saya akan dipenjara, tetapi apa yang saya mahu beritahu, risikonya bukan sahaja dipenjara, malah banyak perkara lain lagi yang mungkin menimpa diri saya,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian Online semalam.

Selain itu, Anwar turut menegaskan, kempen PR yang cuba membawa seramai mungkin penyokong ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin depan bukanlah mewujudkan revolusi ala ‘Arab spring’ ke Malaysia.

“Pada hari tersebut, pihak kerajaan dan polis harus membenarkan penyokong PR turun menandakan sokongan dan mendengar amanat saya, jika tiada provokasi maka perhimpunan ini pasti akan berjalan dengan lancar.

“Jika segalanya bergerak lancar, kami akan arahkan semua yang datang bersurai secara aman, balik ke kawasan masing-masing dan bekerja keras menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,” katanya.

Ditanya kedudukan PR sekiranya masih gagal menawan Putrajaya pada PRU13, Anwar bertegas pilihan raya umum nanti milik PR dan yakin rakyat akan bangkit menentang kerajaan sedia ada yang didakwanya sebagai korup.

“Saya yakin PR mampu ke Putrajaya, PKR adalah parti perjuangan bukannya individu. PR juga pernah menghadapi keadaan yang paling lemah pada pilihan raya umum 2004 tetapi bangkit pada tahun 2008, dengan itu kami mampu ke Putrajaya pada PRU13.

“Sekiranya PR masih gagal menang, maka kami akan terus mempertahankan gabungan sedia ada seperti pada hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menasihatkan penyokong dan pengikutnya agar segera meninggalkan kawasan mahkamah selepas keputusan diketahui pada Isnin ini.

“Selesai mendengar keputusan kes saya nanti, penyokong hendaklah bersurai serta-merta," kata beliau kepada penyokongnya yang ingin menyertai kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini.

Sehubungan itu, beliau juga meminta pihak polis memberi kerjasama dengan hanya mengawal tanpa melakukan sebarang kekerasan terhadap penyokong demonstrasi yang ingin berhimpun secara aman.

Katanya, Malaysia negara yang berdemokrasi, kempen 901 hanya untuk mengekspresikan himpunan rasa rakyat dengan cara yang aman.

“Saya boleh beri jaminan tidak akan berlaku sebarang pergaduhan semasa penyokong saya berhimpun, justeru polis harus jaga kewibawaan, jangan terus menerus melakukan kekasaran terhadap mereka.

“Kepada penyokong yang menyertai demo juga saya nasihatkan bersurai terus selepas mendengar keputusan mahkamah dan terus bekerja kuat untuk kalahkan politik zalim,” katanya.

Sinar Harian

Pemuda Pas, DAP haramkan provokasi

11 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Peserta Kempen Bebas Anwar 901, diminta tidak menimbulkan provokasi bagi mencapai tujuan asal perhimpunan.

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hasan berkata, arahan termasuk tidak membawa senjata telah dimaklumkan kepada semua ahli.

“Kita telah jelaskan kepada mereka mengenai tujuan asal perhimpunan ini yang antaranya sebagai tanda kekesalan rakyat terhadap kepincangan sistem sedia ada. Kita bukan mempersoalkan keputusan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijatuhkan hukuman teruk oleh semua media milik kerajaan, sebelum kesnya­ itu diputuskan oleh mahkamah.

“Kesnya tersebar de­ngan meluas sedangkan belum pasti sama ada, beliau bersalah atau tidak. Beliau telah dihukum de­ngan teruk sebelum menerima keputusan sebenar.

“Kita mengadakan perhimpunan ini untuk membuka mata kerajaan. Kita tidak perlu panik dengan perhimpunan begini kerana telah berpengalaman mengendalikan perhimpunan seperti Bersih 2.0 lalu,” katanya.

Menurut Nasruddin, sekiranya tercetusnya provokasi ketika perhimpunan itu, beliau percaya ia bukan dicetuskan oleh penyokong, sebaliknya dilakukan pihak luar yang berniat menimbulkan kekecohan.

Ditanya jumlah Pemu­da Pas yang akan turut serta pada perhimpunan itu, katanya, beliau yakin ramai yang akan menyertai kempen itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, beliau akan hadir bagi memberi sokongan pada kempen itu.

“Kita telah maklumkan semua ahli supaya hadir memberi sokongan padu terhadap kempen itu. Kita mahu perhimpunan ini berjalan dengan aman tanpa sebarang kekacauan dan provokasi,” katanya.

Sinar Harian

Anwar nafi angkat sumpah laknat Ahad ini

11 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - “Walaupun di saat akhir ini, saya tidak akan sekali-kali melakukan sumpah laknat untuk membuktikan saya tidak bersalah,” tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menafikan dakwaan beliau akan mengangkat sumpah laknat, Ahad ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjelaskan, beliau tetap dengan pendiriannya mendengar nasihat para ulama yang menyarankan agar tidak melakukan sumpah sebagai instrumen politik untuk membersihkan nama sehingga mempersendakan agama.

Tegas Anwar, beliau nekad dengan keputusan tersebut kerana mengambil kira nasihat ulama besar Yusuf al-Qaradawi yang melarangnya dari berbuat demikian kerana isu ini melibatkan sumpah demi politik yang diharamkan dari segi agama Islam.

Pendirian itu menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Anwar akan mengangkat sumpah laknat sebagai jalan terakhir menyelamatkan karier politiknya apabila keputusan kes liwatnya diumumkan Isnin ini.

Tambah Anwar, walaupun beliau sedar tindakannya mengangkat sumpah boleh memberi kelebihan besar kepadanya dari segi moral penyokong dan rakyat, namun beliau tidak akan melakukannya kerana menganggap sumpah tersebut mempermainkan agama.

“Kalau dengan sumpah sahaja boleh membebaskan saya, saya pasti ramai orang yang mencuri, merogol dan membunuh akan mengangkat sumpah menafikan kesalahan mereka, ia adalah salah. Sepatutnya dibawa bicara di mahkamah syariah.

“Jadi adakah saya perlu mengikut nasihat ulama-ulama besar atau mereka yang minum dan memiliki saham dalam syarikat arak? Sudah tentu saya mengikut nasihat ulama yang muktabar, jadi dakwaan yang kata saya akan angkat sumpah sebelum 9 Januari ini adalah tidak benar,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian Online.

Beliau berkata, tindakan melakukan sumpah laknat bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari daripada kaedah Islam.

“Beberapa ulama memberi amaran kepada saya, jika sumpah sebab politik saya akan berdosa besar kerana mengelirukan orang Islam dengan perbuatan sumpah.

“Jadi kenapa saya perlu nak ikut benda yang tak betul? Saya tidak akan terbawa-bawa mainan politik atau media sehingga kita hina syariat Islam,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menjelaskan, masyarakat perlu mendalami hukum sumpah laknat seperti dalam buku “Qazab” untuk faham dengan lebih jelas kenapa beliau berkeras untuk tidak mengangkat sumpah.

“Seorang guru dari Johor tampil menulis surat meminta maaf kepada saya selepas baca buku Qazab kerana tersedar kesalahannya berucap kepada murid dan ibu bapa kata saya orang yang salah kerana tidak mengangkat sumpah laknat.

"Saya tak mahu sumpah saya itu akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu, jadi saya tetap dengan pendirian ini walaupun apa cara dan keadaan sekalipun,” katanya yang sudah bersedia menerima apa jua keputusan kes liwat kedua melibatkan diri beliau minggu depan.

Sinar Harian

Pihak pendakwa buat kesimpulan Hosni Mubarak dalang

11 Safar 1433H. [MOD] -

KAHERAH 5 Jan. - Pihak pendakwa perbicaraan Hosni Mubarak semalam membuat kesimpulan bahawa bekas presiden Mesir, ketua keselamatan dan enam pegawai polis tertingginya menjadi ‘dalang utama’ lebih 800 penunjuk perasaan terbunuh ketika protes menggulingkan pemerintahan diktator itu berlangsung tahun lalu.

Mubarak dan tujuh lagi defendan didakwa bersubahat membunuh dan berdepan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Perbicaraan semalam bertembung dengan pengundian hari kedua dalam pusingan ketiga dan terakhir pilihan raya parlimen yang bermula sejak 28 November lalu. - AGENSI

Lebih 128,000 PATI diputihkan

11 Safar 1433H. [MOD] -

KEBANYAKAN majikan tempatan memberi respons positif terhadap
program pemutihan pendatang asing. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Sejak 10 Oktober lepas sehingga semalam, seramai 128,373 pendatang asing tanpa izin (PATI) diputihkan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, angka itu membabitkan 15,589 majikan.

Daripada jumlah itu, Jabatan Imigresen Putrajaya merekodkan permohonan tertinggi daripada majikan iaitu 13,031 bagi memutihkan 116,018 pendatang tanpa izin.

Dalam kenyataannya di sini semalam, Mahmood berkata, Kompleks KDN di Seberang Jaya, Pulau Pinang menerima permohonan daripada 1,021 majikan untuk memutihkan 4,209 orang diikuti Kompleks KDN Johor Bahru, Johor dengan permohonan 907 majikan bagi pemutihan 4,073 orang.

kosmo/-

Beberapa Jalan Utama Sekitar Bandar Raya Kuching Terjejas Akibat Banjir Kilat

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUCHING: Beberapa jalan utama sekitar bandar raya Kuching pagi Khamis dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini sekaligus menyebabkan kesesakan teruk di laluan keluar masuk menuju pusat bandar.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi Bernama berkata jalan yang terjejas ialah Jalan Green, Jalan Batu Kawa, Jalan Badarudin, Jalan Matang, Jalan Tabuan dan Jalan Sultan Tengah.

"Kita juga telah menerima beberapa laporan banjir di kawasan kediaman Desa Wira dan Stapok awal pagi ini dan difahamkan beberapa penduduk telah dipindahkan dari kediaman masing-masing untuk sementara waktu," katanya.

Katanya setakat ini belum ada laporan diterima berhubung sekolah yang ditutup dan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa.

Menurutnya banjir yang melanda bandar raya Kuching pagi ini dijangka hanya berlaku sementara kerana ketika ini paras air Sungai Sarawak masih lagi pada paras rendah. - BERNAMA

04 Januari 2012

Dalangi insiden UPSI : Gesa pemuda UMNO mohon maaf.

10 Safar 1433H. [MOD] -
Kenyataan Media (4 Januari 2012)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak memberikan tempoh selama tiga hari kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak, Mohamad Annuar Ariffin menarik balik kenyataan dan memohon maaf di atas kenyataan bahawa perhimpunan Mahasiswa di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ‘didalangi oleh Unit Amal PAS’ adalah keterlaluan dan berunsur fithnah. Kami kesal dengan kenyataan tersebut dan mendesak agar Annuar menafikan kenyataan yang dikeluarkannya oleh Sinar Harian (muka surat 7) dengan segara atau berhadapan dengan tindakan Mahkamah.

Bagi kami tuduhan yang dilemparkan oleh Annuar sungguh berat dan yang sikap melampau kerana cuba mengaitkan perhimpunan Mahasiswa tersebut dengan PAS atau Dewan Pemuda PAS. Kami memberikan tempoh yang secukupnya kepada Annuar bagi memohon maaf dan jika beliau enggan membuat demikian, kami akan meminta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kami mengemukakan writ saman kepada Annuar selepas tempoh yang diberikan berakhir. Kami kesal Annuar membuat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab sama sekali.

Kami sekali lagi mengulangi pendirian akan mengambil tindakan Mahkamah jika Annuar masih berdegil dan ingkar dengan permohonan kami ini. Kami jelas kesal dengan sikap pemimpin muda yang amat takut bersemuka dan berdepan dengan cara berhemah serta dengan sengaja melontar satu tomahan yang tidak berasas. Perkara ini juga jelas bahawa Pemuda Umno Perak terutamanya tidak langsung mengambil sikap berbincang di atas meje rundingan malah tidak cakna kepada golongan Mahasiswa.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Singapura potong gaji menteri

10 Safar 1433H. [MOD] -

Singapura akan memotong sekurang-kurangnya satu pertiga gaji para menterinya, tetapi mereka masih kekal sebagai menteri yang dibayar gaji yang terbaik di dunia.

NONEPotongan gaji itu telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien
Loong untuk menenangkan kemarahan orang ramai pilihan raya umum 2011, dan beliau sendiri akan memotong gajinya sebanyak 36 peratus le[ada SG$2.2 juta (RM5.4 juta).

Namun, ia masih dipercayai gaji tertinggi bagi mana-mana ketua kerajaan yang dipilih di dunia - lebih empat kali ganda Barack Obama, yang berpendapatan SG$400,000 (RM1.3 juta) tahun sebagai presiden Amerika Syarikat.

Manakala gaji presiden Singapura juga akan dipotong 51 peratus kepada SG$1.54 juta (RM3.8 juta).

Potongan akan retroaktif untuk tempoh lima tahun kerajaan semasa bermula pada 21 Mei, 2011 dan garis panduan baru tambatan akan membayar kepada kesejahteraan rakyat Singapura biasa.

Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang membawa Singapura mencapai kemerdekaan daripada Malaysia pada tahun 1965 dan memerintah
republik itu sejak itu, mengalami kejatuhan peratusan undi ke tahap paling rendah, iaitu 60 peratus dalam pilihan raya 2011.

Workers' Party candidate Chen Show Mao victory in singapore 1Hanya sistem kontroversi pilihan raya di sebahagian besar daripada 87 kerusi parlimen secara berkelompok dan bukan individu - yang dilihat sebagai memihak kepada PAP - telah menghadkan kemenangan pembangkang kepada enam kerusi.

Ketika beliau mengangkat sumpah untuk penggal lima tahun yang baru dua minggu selepas pilihan raya tersebut, dasar pertama yang diumumkan oleh Lee ialah untuk mengkaji semula gaji para -menteri.

AFP

MAHB ‘sembunyikan’ kenaikan kos tambahan perpindahan KLIA2, kata Pua

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) gagal memaklumkan kepada pegawai kerajaan mengenai kos KLIA2 yang mencecah RM3.9 bilion, meningkat hampir dua kali ganda apabila berpindah ke terminal baru dari lokasi asal, kata Tony Pua hari ini.

Ketua Publisiti DAP berkata MAHB tidak memaklumkan maklumat penting itu pada satu mesyuarat yang diadakan pada 15 April 2008, apabila mengendali lapangan terbang itu mula menjalankan kerja-kerja di tapak KLIA Barat untuk mengambil pegawai dari Kementerian Kewangan dan pegawai dari Kementerian Dalam Negeri.

Walaupun pelan asal KLIA Master Plan 1992 menyatakan keadaan tanah di bahagian barat tidak sesuai untuk pembinaan lapangan terbang tanpa mengambil langkah-langkah penting yang dicadangkan jurutera,” kata Pua.

“Isu ini yang dinyatakan dalam rancangan induk tidak diambil untuk dimasukkan dalam rancangan induk yang baru,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DAP di sini.

“Saya hanya boleh membuat kesimpulan bahawa MAHB dengan sengaja memilih untuk tidak mendedahkan maklumat penting ini kepada pegawai kementerian berkaitan.”

Tindakan itu menyebabkan kekurangan bantahan untuk memindahkan KLIA Utara ke KLIA Barat yang menyebabkan kos terminal pengangkutan tambang murah boleh melambung dari RM2 bilion kepada RM3.9 bilion, katanya.

Pua juga mempersoalkan keputusan MAHB untuk berpindah ke lokasi baru, mengatakan pengendali lapangan terbang itu telah mengesahkan tapak asal sebagai lokasi pilihan terbaik dalam satu pembentangan kepada Kementerian Kewangan pada 6 Julai 2007.

Bulan lalu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini menganggarkan kerja-kerja di tapak baru itu akan menelan kos RM1.2 bilion daripada 1.9 bilion kos tambahan untuk membina KLIA2.

Beliau menegaskan langkah untuk memindahkan KLIA Barat bermakna satu landasan kapal terbang ketiga perlu dibina yang menelan kos RM270 juta serta satu menara kawalan kedua berharga RM500 juta.

Pua juga mengambil tugas Kementerian Pengangkutan dengan mengatakan keputusan MAHB itu dibuat tanpa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dan menggesa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengambil tindakan terhadap pegawai kementerian itu yang terlibat dalam perbincangan KLIA2.

Beliau menambah tindakan juga mesti diambil terhadap pengurusan atasan MAHB kerana menyembunyikan perkara sebenar.

MAHB berkata kenaikan kos KLIA2 itu berlaku disebabkan keputusan untuk meningkatkan keupayaan kapasiti terminal kepada 45 juta penumpang setiap tahun berbanding 30 juta sebelum ini.

Ia dilakukan untuk menampung unjuran penerbangan tambang murah AirAsia yang mempunyai penumpang seramai 45.3 juta orang yang akan menggunakan terminal pengangkutan tambang murah baru menjelang 2020, katanya.

Pengendali kapal terbang itu turut menyalahkan kelewatan enam bulan untuk perubahan dalam sistem pengendalian bagasi (BHS), yang diminta AirAsia.

Tetapi AirAsia menafikan meminta BHS supaya memberikan perkhidmatan lebih baik atau terminal lebih besar dengan mengatakan hanya meminta MAHB memperluaskan KLIA2 jika diperlukan.

KLIA2 akan menjadi terminal tambang murah terbesar di dunia apabila siap dibina pada April 2013.

malaysian insider/-

Dosa sesama manusia

10 Safar 1433H. [MOD] -

Dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: "Siapa yang merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, sama ada berupa kehormatan badan atau harta atau lain-lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf) darinya, sebelum datang suatu hari yang tiada harta dan dinar atau dirham,

jika dia punya amal saleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanah (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yang dianiaya itu untuk ditanggungkan kepadanya." (H.R. Bukhari-Muslim)

tazkirah/-

UPSI jangan jadi 'institusi pengajian rimba'

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Pihak pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diingatkan agar tidak menjadikan universiti itu sebagai 'institusi pengajian rimba' di negara ini dengan tidak menghormati proses keadilan.

Tindakan UPSI menyingkirkan salah seorang pelajarnya, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim dari kolej kediaman Aminuddin Baki kampus itu yang terlibat dalam demonstrasi aman di hadapan pusat pengajian itu malam 1 Januari lalu, bagaimanapun jelas memperlihatkan sikap universiti tersebut yang mendahului proses undang-undang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pada hal pihak pentadbiran UPSI tidak sepatutnya mengenakan tindakan seperti itu terhadap pelajar terbabit kerana beliau tidak pun disahkan bersalah oleh mahkamah.

Menurutnya, malah kes pelajar terbabit belum pun dibawa ke mahkamah untuk diadili, tetapi bagaimana pula UPSI boleh mengatakan pelajar tersebut bersalah.

Katanya, sekiranya pihak UPSI mengatakan Siti Nurul Piteriah bersalah kerana melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), perkara itu juga mestilah diputuskan oleh mahkamah.

"Pihak pentadbiran UPSI tidak boleh bertindak sesuka hati ke atas pelajarnya dengan mengatakan pelajar terbabit bersalah hanya atas alasan melanggar peraturan universiti itu, sedangkan pelajar berkenaan belum pun diputuskan bersalah oleh mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Seorang mahasiswi UPSI, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim yang terlibat dalam demonstrasi aman yang mencederakan dua pelajar dan membawa kepada penangkapan 17 pelajar lain di hadapan pusat pengajian tinggi itu malam 1 Januari lalu telah disingkirkan dari kolej kediaman universiti tersebut.

Menurut penyelaras kumpulan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, pelajar wanita itu dimaklumkan keputusan tersebut kelamrin selepas beliau dibebaskan daripada tahanan polis.

Adam Adli seperti yang dilaporkan media tempatan berkata, Siti Nurul Piteriah telah disingkirkan dari kolej kediaman Aminuddin Baki, manakala seorang lagi pelajar universiti itu, Alif Ashraf, yang turut mengambil bahagian dalam demonstrasi tersebut juga mungkin menghadapi tindakan disiplin, tetapi belum disahkan.

Bagaimanapun, media hari ini turut melaporkan, Siti Nurul Piteriah akan terus menetap di asrama berkenaan sehingga notis rasmi diberikan kepadanya.

"Saya masih di kolej. Setakat ini saya hanya diberikan notis lisan daripada rakan-rakan kolej, yang memetik pesanan "dari pihak atasan".

"Selagi tidak ada notis (rasmi), saya akan tetap tinggal di sana. Itu adalah hak saya," kata pelajar diploma Kesusasteraan Melayu itu.

Siti Nurul Piteriah menjelaskan, beliau dimaklumkan untuk mengosongkan asrama kediamannya berkuatkuasa serta-merta, jam 9.30 malam, selepas dia dibebaskan pada sebelah petang hari demonstrasi berkenaan.

Menurut Mahfuz, PAS amat kesal dan mengecam keras tindakan UPSI itu kerana ia telah menyebabkan pusat pengajian itu kini telah bertukar menjadi institusi pengajian rimba di negara ini.

Katanya, sebagai sebuah pusat pengajian tinggi, pihak pentadbiran UPSI sewajarnya menghormati undang-undang, tetapi tindakan tersebut jelas menunjukkan UPSI telah mendahului proses undang-undang untuk melakukan sesuatu tindakan.

"Apakah salah jika pelajar itu terlibat dalam demonstrasi? Jika pula dikatakan menyalahi Auku, buktikahlah di mahkamah. Sedangkan Auku itu sendiri telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyalahi Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap agar pihak pentadbiran UPSI menarik balik penyingkiran terhadap Siti Nurul Piteriah dan pelajar lain yang terlibat dalam demonstrasi tersebut.

Harakah Daily

Rundingan Damai: Israel-Palestin Bertemu Semula Jumaat Ini

10 Safar 1433H. [MOD] -

AMMAN: Perunding Israel dan Palestin bersemuka buat pertama kalinya dalam tempoh 15 bulan dan bersetuju untuk bertemu semula, Jumaat ini dalam usaha meneruskan rundingan damai.

"Perbincangan berlangsung dengan baik," kata Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh.

Perbincangan itu diketuai oleh ketua perunding Israel, Yitzhak Molcho dan Mohammed Shtayyeh mewakili Palestin.

Washington turut mengalu-alukan usaha tersebut dan menyifatkan ia sebagai perkembangan positif selepas rundingan damai di antara kedua-dua negara tertangguh lebih setahun lalu.

"Kedua-dua negara menyuarakan komitmen masing-masing untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Kami tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi tetapi pada masa sama tidak mahu memperlekehkan kepentingan pertemuan itu.

"Palestin menghantar kertas kerja berhubung isu persempadanan dan keselamatan. Israel telah menerimanya," kata Judeh.

Beberapa pegawai Palestin memberitahu mesyuarat pada Selasa masih membincangkan isu sama kerana delegasi Israel tidak mengusulkan sebarang perkara baru.

Namun, mereka bersetuju untuk mengadakan pertemuan kali kedua di Amman pada Jumaat ini di bawah pemerhatian Kuartet Timur Tengah.

Terdahulu, Palestin enggan meneruskan rundingan damai dengan Israel kerana Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan membekukan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

mstar/-

Wanita PKR: Sharizat tak layak komen kempen 901

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak layak mengeluarkan komen mahupun kenyataan berhubung kempen Bebaskan Anwar 901.

Zuraida mendakwa oleh kerana Shahrizat masih diselubungi kontroversi berkaitan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kendalian keluarganya, Ketua Wanita Umno itu tidak wajar mengeluarkan sebarang pendapat yang boleh menjejaskan dirinya sendiri.

“Sharizat tak perlulah memberi apa-apa kenyataan mengenai Kempen 901 ini kerana dia sendiri pun masih terbabit dengan isu NFC," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata kempen tersebut bertujuan mempertahankan pemimpin yang telah difitnah oleh pihak yang tidak bertanggunjawab.

Kempen itu yang mendapat reaksi berbelah bahagi setakat dengan ada yang mengecan diadakan menjelang keputusan Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes liwat dihadapi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu tambah Zuraida, pihaknya tidak menghalang ibu bapa yang ingin membawa anak-anak mereka ke perhimpunan itu bagi memberi sokongan kepada Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Menurut Zuraida, pihaknya tidak menghalang, namun ia bergantung pada kebijaksanaan ibu bapa untuk mengawasi keselamatan anak-anak mereka seandainya terjadi provokasi sengaja ditimbulkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ini perhimpunan aman dan tiada undang-undang yang mengatakan anak-anak dilarang datang mahupun sebaliknya, tetapi ibu bapa kena pandai jaga anak mereka semasa perhimpunan tersebut,” katanya sambil menambah akan menggerakkan 50 peratus ahli Wanita PKR agar menyertai perhimpuanan tersebut.

Sinar Harian

Debat NFC: Rafizi nasihat Khairy berhenti cabar orang

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menasihati Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin agar berhenti melemparkan cabaran kepada orang lain dalam sebarang isu di masa hadapan.

Beliau membuat kenyataan itu ekoran Khairy sehingga kini masih berdiam diri berhubung cabaran debat mengenai isu salahguna dana oleh National Feedlot Corporation (NFC).

“(Kepada Khairy) cukup-cukuplah cabar orang. Sebelum ini dia yang paling garang.
“Sekarang kredibiliti dia untuk mencabar orang dah terhakis. Kalau dia ada maruah henti-hentilah cabar orang,” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, rakyat yang marah berhubung skandal itu, kini menerima mesej jelas bahawa Umno gemar mempertahankan pimpinannya yang melakukan salahguna kuasa.

“Mesej kepada rakyat dah jelas…Umno gemar bersekongkol dan membela mereka yang bersalah.

“Dia (Khairy) tahu dan lihat kemarahan rakyat memuncak,” katanya kepada keadilandaily.

Khairy sebelum ini beria-ia mempertahankan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.

Ekoran itu, Rafizi pada 18 November lalu mencadangkan agar debat berhubung isu itu diadakan pada 12 Disember dan memberi tempoh sebulan untuk Khairy menjawabnya.

Namun debat itu terpaksa dibatalkan selepas Khairy dilapor tidak dapat hadir pada tarikh itu, dan ingin menetapkan tarikh baru yang dipersetujui bersama.

Justeru Rafizi mencadangkan agar debat skandal NFC itu diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) yang juga Ibu Pejabat Umno.

Beliau turut meminta Khairy memberikan satu tarikh menjelang 12 Disember sebelum jam 12.00 tengahari, namun sehingga kini tiada sebarang respon dari Ahli Parlimen Rembau itu.

Keadilan Daily

Peguam negara, SPRM tidak telus siasat rasuah Taib Mahmud

10 Safar 1433H. [MOD] -

SARAWAK 4 Jan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara dianggap tidak telus dalam siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang terlibat dengan pelbagai skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Ketua Angkatan Muda Sarawak, Ahmad Razib Johari mengulas kenyataan polis antarabangsa Interpol, bahawa siasatan mengenai jenayah membabitkan Taib , hanya boleh dilakukan pihak berkuasa Malaysia.

“Ia memberi maksud agar jabatan peguam negara perlu mengambil tindakan tegas, bukan memilih atau melihat siapakah orang yang diadu, seolah tidak mengambil serius ke atas dakwaan tersebut. Ini tidak menggambarkan SPRM dan jabatan peguam negara telus dalam jalankan tugas.

“Sehingga hari ini tidak ada laporan hasil siasatan SPRM dan tidak ada juga pendirian pejabat peguam negara berkenaan siasatan SPRM. Apakah Peguam negara mahu tunggu sehinga rakyat sendiri buat keputusan?,” soal beliau.

Menurut Ahmad Razib, pihaknya telah membuat lima laporan kepada SPRM, iaitu di Shah Alam, Kuching, Sibu, Miri, dan Putrajaya.

“Bila ada aduan SPRM berkata ‘kami hanya menyiasat, untuk apa-apa tindakan pendakwaan hanya di bawah Jabatan Peguam Negara’,”

“Jadi maksudnya kita tidak ada pilihan lain. Kalau Najib arah tidak didakwa, tidak ada guna juga,” ujar beliau.

Awal bulan lalu, BMF dan 16 NGO lain menulis sepucuk surat mendedahkan kepentingan keluarga Taib dalam 332 syarikat Malaysia dan 85 syarikat asing di 25 negara yang dianggar berbilion ringgit.

Kepentingannya di dalam 14 syarikat di Malaysia sahaja dianggar sebanyak RM4.6 bilion.

BMF dan NGO terbabit menggesa Malaysia menahan Taib dan ahli keluargnya kerana melakukan salahguna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Surat 10 muka itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom.

Keadilan Daily

Bertan-tan ikan mati di utara Norway

10 Safar 1433H. [MOD] -

SEEKOR anjing berjalan di atas timbuan ikan di sebuah pantai di Kvennes, utara Norway kelmarin.

OSLO - Para saintis dan penduduk tempatan keliru tentang kejadian beberapa tan ikan herring terdampar di sebuah pantai di utara Norway, lapor media kelmarin.

Seorang penduduk setempat, Jan-Petter Jorgensen yang memeriksa pantai berkenaan di Kvaenes, Nordreisa bersama anjingnya pada hujung minggu lalu berkata, terdapat beberapa tan bangkai ikan tersebut.

Antara punca kematian besar-besaran itu termasuk ikan tersebut terperangkap di dalam air pasang selepas dikejar ikan-ikan pemangsa tepian pantai.

Teori yang lain menyatakan sekawanan ikan herring itu hanyut ke tepi pantai semasa ribut baru-baru ini. Terdapat teori lain yang menyatakan ikan-ikan berkenaan terperangkap di dalam air cetek dan mati kerana terperangkap dalam air tawar dari sebatang sungai yang mengalir ke pantai berkenaan. - Dpa

NFC: Suami Shahrizat didakwa rasuah SPRM, polis

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 4 Dis : Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Mohamad Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, merujuk tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail, 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.

Bagaimanapun wang berkenaan, kata Rafizi, digunakan Mohamad Salleh bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC.

“Tugasan Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai tersebut,” kata Rafizi.

Merujuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata Rafizi,undang-undang jelas menunjukkan Salleh melalui Shamsulbahrin telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM.

“Undang-undang SPRM jelas menunjukkan dalam kes ini, Datuk Seri Salleh Ismail melalui Datuk Shamsubahrin Ismail cuba merasuah pegawai SPRM dan PDRM dalam kes NFC bagi perkara berikut:

“Pertama, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta.

“Kedua, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memujuk pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Keadilan Daily

Maklumat diperoleh dari akaun NFC sendiri- Rafizi

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 4 Dis : Ekoran pendedahan mengenai penyelewengan dana RM250 juta oleh National Feedlot Corporation (NFC), Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dipanggil untuk memberikan keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Kuala Lumpur.

Menurut Rafizi, beliau akan menyerahkan dokumen asas yang diperolehi melalui satu kiriman email kepada pihak polis ketika memberikan keterangan jam 3 petang ini.

Dokumen itu, katanya, dihantar secara sulit seseorang yang tidak dikenali, dalam bentuk senarai perbelanjaan terpeinci dari akaun bank utama NFC.

“Berdasarkan dokumen asas ini, orang ramai tidak perlu ragu-ragu kesahihan maklumat yang diberikan kerana ia adalah maklumat terperinci dari sistem perakaunan NFC sendiri,” kata Rafizi.

Rafizi kesal dengan pihak berkuasa kerana sejak skandal itu dibongkar, tumpuan siasatan hanya tertumpu kepada kesahihan dokumen-dokumenyang digunakan oleh KEADILAN dan bukannya menyiasat penyelewengan dana tersebut.

“Ramai yang menuduh kononnya dokumen ini palsu sehinggakan seolah-olah siasatan lebih banyak tertumpu untuk mencari identiti mereka yang membocorkan maklumat kepada KEADILAN.

“Kalau kita (KEADILAN) boleh dedahkan pelbagai bukti hanya melalui dokumen ini yang hanya sedikit maklumat, pihak polis dan SPRM sepatutnya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mendapatkan bukti dengan secepat mungkin,” kata beliau.

Keadilan Daily

Mahkamah benar sekat mesyuarat agung KPF

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN, 4 Jan: Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan peneroka Felda untuk menyekat mesyuarat agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dijadualkan esok.

Keputusan mahkamah ini dibuat berdasarkan permohonan injunsi yang dibuat oleh para peneroka bagi menghalang mesyuarat agung itu.

Pada 23 Disember lalu, empat orang ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF), Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Mereka memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

Permohonan itu difailkan oleh peguam Mohamad Harris Abdullah.

Sementara itu, Mesyuarat Agung Perwakilan Khas Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang dijadualkan esok dibatalkan, serentak dengan itu saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang mesyuarat tersebut ditarik balik.

Mohd Harris Abdullah, berkata keputusan tersebut dibuat setelah peguam bagi pihak Felda mengemukakan pengakuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya mesyuarat tersebut dibatalkan.

“Bagaimanapun jika pihak Felda meneruskan Mesyuarat Agung KPF, kami akan memfailkan injunksi lagi," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Harris, dalam perbicaraan hari ini pihaknya gagal untuk memohon kos mahkamah ditanggung oleh pihak Felda.

Rabu lalu, beliau telah mengemukakan interim injunction di mahkamah berkenaan bagi menghalang meyuarat agung KPF 5 Januari.

Difahamkan, mesyuarat khas KPF itu adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia.

Keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh, memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Harakah Daily

Hope2Walk raih perhatian masyarakat

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 4 Jan: Kempen Hope 2 Walk yang dilancarkan kira-kira sebulan lalu tetap diteruskan dan mendapat perhatian masyarakat meskipun Annisa Mohd Affandi, 10 tahun telah meninggal dunia pada 22 Disember lalu sebelum sempat dana untuk membiayai rawatannya mencukupi.

Kempen tersebut diteruskan bagi mendapatkan sumbangan orang ramai bagi membiayai rawatan untuk adik kepada Annisa, An-Nur, 8 tahun yang turut mengidap kecacatan Cerebral Palsy seperti kakaknya.

Annur memerlukan dana berjumlah kira-kira RM500,000 untuk membolehkan beliau mendapat rawatan di Hopital Erkang, Beijing, China, kaedah rawatan yang tidak terdapat di negara ini.

Bagaimanapun menurut Affandi, jumlah dana yang dilancarkan kira-kira sebulan lalu masih jauh dari jumlah yang disasarkan bagi membolehkan An-Nur diterbangkan ke China.

"Sambutan masyarakat termasuk beberapa badan bukan kerajaan memang memuaskan, kira-kira sebulan program ini dilancarkan sehingga kini kutipan baru menghampiri seratus ribu, masih terlalu jauh untuk mencapai sasaran lima ratus ribu.

"Selain sumbangan yang datang dari individu, ada beberapa NGO yang turut sama menghulurkan sumbangan dan saya amat berterima kasih kepada semua," beritahu beliau kepada Harakahdaily.

Affandi juga memberitahu program Hope2Walk ini akan diteruskan walaupun setelah dana yang diperlukan untuk membiayai rawatan An-Nur telah mencukupi nanti bagi membantu kanak-kanak lain yang senasib.

"Insyaallah, bila An-Nur dapat diterbangkan ke China, Hope 2 Walk ini akan diteruskan bagi membantu anak-anak lain yang senasib dengan Annisa dan An-Nur.

"Annisa dan An-Nur adalah perintis bagi memberi peluang dan harapan kepada kanak-kanak lain juga, bukan milik kami," ujar beliau.

Menurut beliau lagi, masyarakat harus memandang isu ini sebagai satu perjuangan untuk semua, bukannya perjuangan untuk Annisa, An-Nur dan keluarganya sahaja.

"Ini adalah perjuangan bersama, perjuangan semua lapisan masyarakat negara ini membuktikan keprihatinan dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang yang tidak hanya mengejar duniawi sahaja.

"Banyak atau sedikti jumlah yang kita sumbangkan bukanlah persoalannya, tetapi keikhlasan kita untuk menyertai perjuangan ini dengan turut sama menyumbang walaupun satu ringgit.

"Orang ramai boleh membuat sumbangan melalui akaun Maybank saya bernombor 1561 1400 1424 atau akaun Bank Islam anak saya, Annisa Mohd Affandi bernombor 14-229-02-001975-2," kata beliau lagi.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui di dalam program Mini Konsert Amal Seribu Harapan An-Nur dan Annisa yang diadakan di Dewan Orang Ramai, Apartmen Harmoni, Damansara Damai turut menyatakan sokongan terhadap program tersebut.

Jangan pilih bulu membantu

Suri rumah, Normariah Saleh, 34 tahun menyatakan kes yang menimpa seorang kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum sempat menjalani pembedahan kerana ibu bapanya tidak mempunyai wang yang mencukupi beberapa tahun lalu haruslah dielakkan.

"Saya teringat beberapa tahun lalu, seorang kanak-kanak meninggal dunia apabila tabung yang dilancarkan untuk menampung kos pembedahan tidak mendapat sambutan yang baik dari masyarakat kita.

"Hairannya, pada masa yang sama tabung bantuan untuk selebriti cepat pulak penuh.

"Memang betul, selebriti pun patut diberi perhatian, dibantu sekiranya mereka memerlukan, tetapi ianya membuatkan saya tertanya-tanya adakah masyarakat kita punyai sikap memilih orang-orang terkenal sahaja untuk membantu.

"Kita dapat lihat di pentas tadi, ada pihak dari Gereja yang turut sama memberikan sumbangan untuk tabung Hope 2 Walk, sikap yang wajar kita contohi iaitu membantu tanpa mengira ugama dan bangsa.

"Kita baru sahaja kehilangan kakaknya, Annisa sebelum sempat beliau mendapat rawatan, kita tidak mampu untuk kehilangan si adiknya pula An-Nur," beritahu beliau.

Naimullah, lepasan institusi pengajian tinggi pula menyatakan, semua lapisan masyarakat perlu lebih perihatin dengan isu-isu seperti ini.

"Kita kena perihatin dengan isu seperti ini dengan membantu golongan yang memerlukan tak kisahlah walaupun sedikit.

"Apatah lagi dalam zaman yang kos sara makin tinggi, memang bukan semua orang mampu memberi sumbangan yang besar, tetapi dengan pengorbanan seringgit kita itulah dapat memberikan seribu harapan kepada kanak-kanak seperti An-Nur ini," katanya.

Baru-baru Konsert Amal Seribu Harapan An-Nur dan Annisa yang dianjurkan oleh Seni Suri Jawi dan Hope 2 Walk telah mendapat sambutan meriah di Damansara Damai.

Jelajah tersebut juga akan diteruskan di lokasi-lokasi lain di seluruh negara bagi memenuhi dana yang diperlukan bagi menampung kos rawatan untuk An-Nur.

Kempen Hope 2 Walk ini turut mendapat perhatian beberapa media massa termasuk sokongan meluas di laman sosial seperti facebook, twitter dan blog.

Kempen ini turut mengundang keprihatinan pemain bola sepak negara yang juga kapten pasukan Pelita Jaya di Indonesia, Safee Sali yang diangkat sebagai duta kempen Hope 2 Walk.

Orang ramai yang ingin turut menghulurkan sumbangan, mereka boleh menyalurkan ke akaun Maybank atas nama Mohd Affandi Ramli (1561 1400 1424) atau Bank Islam atas nama Annisa Mohd Affandi (14-229-02-001975-2) atau hubungi sukarelawan Nashita Md Noor di talian 013 209 6373.

Harakah Daily

Zua XPDC tarik anak muda rock dekati PAS

10 Safar 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 4 Jan: Kemunculan bekas pemain gitar bass Kumpulan XPDC, Azuar Md Tasi atau lebih popular dengan panggilan Zua pada Konsert hiburan 'Jelajah Orang Muda (JOM) Geng Kita' di Pulau Pinang baru-baru ini berjaya menarik ratusan anak muda ke program PAS itu.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti Rantau Panjang dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas dan Negeri itu berjaya menarik golongan pemuda khususnya peminat rock untuk duduk bersama dalam program tersebut.

Selain Zua, program tersebut turut menampilkan pemuzik undangan SUS9 yang pernah menjadi johan sempena Pesta Pulau Pinang tahun 2002 vokalisnya Jefri.

Pengarah Program, Nor Azman Ishak ketika ditemui gembira dengan sambutan yang diberikan terutamanya golongan muda terhadap pendekatan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu.

"Pada masa depan program sebegitu akan diteruskan supaya anak muda yang jiwa mereka terlalu cintakan muzik tetap bersama PAS.

"Dulu mungkin timbul perasaan tidak selesa kerana bimbang PAS tidak dapat menerima
golongan seperti mereka, " jelasnya.

JOM diadakan seharian di Dun Penaga di mana pada sebelah paginya program mengayuh basikal diadakan mengelilingi beberapa buah kampung di Pasir Gebu, Penaga.

Acara sukan juga diadakan di padang awam Pasir Gebu yang mana acara yang paling dinantikan ialah persembahan seni silat serta tomoi.

Selain itu klinik gitar juga turut diadakan di dewan berkenaan pada sebelah petang yang dikendalikan sendiri oleh Zua.

Harakah Daily

UPSI: Jangan bertindak atas keterangan polis sahaja

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Oleh kerana terlalu kerap tertangkap basah kerana menipu, kenyataan polis kini sukar dipercayai, kata anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

Oleh itu, beliau meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak terlalu bergantung kepada kenyataan polis dalam mengambil tindakan kepada pelajarnya.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP melahirkan kesalnya dengan tindakan UPSI mengambil tindakan membuang asrama ke atas seorang pelajarnya yang menyertai perhimpunan pada malam 1 Januari 2012 lalu.

Perhimpunan itu kemudiannya menjadi perhimpunan berdarah apabila polis mengambil tindakan keras dengan mengejar pelajar terlibat.

Para pelajar pula mendakwa, ada antara mereka ditumbuk dan disepak oleh polis sehingga cedera.

Namun, apa yang dikesali adalah kenyataan Ketua Polis Perak yang mendakwa para pelajar ini cedera kerana melanggar cermin klinik.

"Melihat kepada trak rekod polis, saya yakin ramai yang tidak percaya dengan penjelasan yang dibuat oleh polis," kata Nie Ching.

Beliau memberikan beberapa kenyataan polis sebelum ini yang boleh dikira tidak benar.

Beliau mengambil contoh kes 'mata hitam' Datuk Seri Anwar yang dikatakan Anwar memukul dirinya sendiri.

Kemudian kes Bersih 2.0 apabila polis menafikan pihaknya menyembur air kimia ke laman hospital Tung Shin.

Begitu juga kes Mohamad Sabu yang dilanggar oleh kereta polis tetapi polis berkata, Mohamad Sabu yang melanggar kenderaan polis dan terjatuh.

Berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh Dr Nurul Azlean Norzan iaitu doktor yang merawatnya, didapati Mohamad Sabu tidak akan mengalami kecederaan semacam itu jika tidak dilanggar atau hanya jatuh sahaja.

Ia disokong oleh Dr Ankimtay Rutel, pakar dari Hospital Kuala Lumpur yang berkata, kecederaan Mohamad Sabu konsisten dengan penjelasan yang diberikannya iaitu dilanggar hingga jatuh.

"Adalah menyedih apabila mendapati polis tertangkap kerana menipu dalam banyak kes," kata Nie Ching.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota polis yang berkenaan diambil tindakan bukannya pelajar yang berhadapan dengan mimpi ngeri di malam tahun baru hanya kerana berhimpun untuk menyatakan yang hak tentang kebebasan akademik mereka.

Harakah Daily

Ikan ‘Molly’ jadi tumpuan

10 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Pameran dan Pertandingan Ikan Hiasan anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelan­tan (Muzium Kelantan) melalui per­tandingan teka bilangan ikan ‘Molly’ menarik ramai pengunjungnya.

Pengarah Muzium Kelantan, Abdul Rahman Abdullah berkata, selain tertarik melihat ikan hiasan jenis Betta Halfmoon dan Plakat Halfmoon, pengunjung juga turut menyertai peraduan meneka bilangan ikan ‘Molly’.

“Bagi menyeronokkan peraduan ini, terdapat ikan jenis lain diletakkan pada satu akuarium dan mereka yang mengenali ikan ‘Molly’ berwarna oren membuat tekaan.

“Peserta yang meneka bilangan yang tepat atau hampir tepat dijadi­kan pemenang dan pihak kami menerima sambutan menggalakkan daripada penyertaan pertandingan ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, peserta bertuah memenangi hadiah berupa basikal fixie, hamper dan barangan elektrik sebagai menghargai penyertaan mereka.

“Aktiviti seumpama ini mampu menghiburkan pengunjung dan pe­minat ikan, malahan boleh dikatakan setiap hari selama seminggu pameran ikan hiasan berlangsung, mereka pasti tidak ketinggalan melihat akuarium teka ikan ‘Molly’,” katanya.

Katanya, setelah pameran dan pertandingan ikan hiasan berkenaan tamat pada Sabtu lalu, jika terdapat permintaan, pihaknya akan me­ngadakan pameran ikan hiasan pada masa yang lain terutama bagi program menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK).

Sinar Harian

PKR desak SPRM dakwa pengerusi eksekutif NFC

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - PKR mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera mendakwa Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail susulan kes seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" dikenakan dua tuduhan menipu Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) itu bulan lalu.

Shamsubahrin Ismail, 45, didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 30 Disember lalu.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, berdasarkan pada tindakan pihak berkuasa mendakwa Shamsubahrin atas tuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan wang sebanyak RM1.755 juta, pihaknya percaya SPRM perlu mengenakan tindakan segera ke atas ketua projek ternakan lembu itu.

Kata Rafizi, beliau amat kesal kerana pihak berkuasa masih terus mahu melindungi Mohamad Salleh dan keluarga menteri kanan walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan menutup penyelewengan lebih besar dalam NFC.

Sebaliknya kata beliau, pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Shamsubahrin atas tuduhan cuba menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM, kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Oleh itu kata beliau, PKR mendesak SPRM supaya dengan segera memulakan siasatan ke atas Mohamad Salleh dan pengurusan NFC.

Kata beliau, PKR boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperoleh setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Mohamad Salleh.

“Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Datuk Seri Mohamad Salleh. Tugasan Datuk Shamsubahrin adalah menjadi orang tengah,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorongnya bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 25 November hingga 6 Disember lepas.

Lelaki yang memiliki beberapa syarikat termasuk perkhidmatan limosin itu direman oleh polis dan diserahkan kepada SPRM selepas ditahan pada 22 Disember.

Sementara itu, Rafizi juga berkata beliau akan memberi segala maklumat berkaitan skandal NFC di Bukit Aman pada jam 3 petang ini.

Katanya, beliau bersetuju untuk mendedahkan dokumen asas iaitu senarai perbelanjaan terperinci dari akuan bank utama yang dimiliki oleh NFC, yang telah dihantar secara sulit oleh seseorang yang tidak dikenalinya.

“Ramai yang menuduh kononnya dokumen ini palsu sehinggakan seolah-olah siasatan lebih banyak tertumnpu untuk mencari identiti mereka yang membocorkan maklumat kepada PKR.

“PKR yakin pihak polis dan SPRM sepatutnya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mendapatkan bukti dengan cepat untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam kes penyelewengan NFC,” katanya.

Sinar Harian

Dua Maut Makan Cendawan Beracun

10 Safar 1433H. [MOD] -

SYDNEY: Dua orang maut manakala seorang lagi masih dirawat selepas makan cendawan beracun ‘Death Cap’, lapor sebuah hospital di sini pada Rabu.

Secara keseluruhan empat individu dimasukkan ke hospital selepas makan cendawan tersebut pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru di Canberra.

Seorang lagi mangsa telah dibenarkan keluar dari Hospital Canberra manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Royal Prince Alfred (RPA), di sini.

"Dua daripada mereka meninggal dunia di RPA sementara mangsa ketiga sedang diberi rawatan," kata jurucakap hospital berkenaan.

Hospital tersebut juga enggan mendedahkan maklumat mengenai mangsa mahupun rawatan yang diberikan kerana menghormati hak peribadi pesakit.

Bagaimanapun, laporan sebuah media tempatan menyatakan mangsa ketiga sedang menunggu untuk menjalani pemindahan hati.

Dipercayai semua mangsa tersilap kerana menganggap cendawan tersebut sebagai cendawan padi yang menjadi hidangan biasa di Asia Tenggara.

Keseluruhan bahagian cendawan ‘Death Cap’ tidak boleh dimakan dan ia boleh membawa maut, walaupun diambil dalam kuantiti sedikit.

Mereka yang termakan cendawan tersebut akan menunjukkan beberapa simptom seperti muntah-muntah dan boleh maut dalam tempoh beberapa hari ekoran toksin didalamnya membahayakan hati.

"Kesimpulannya, mereka akan mengalami masalah kegagalan hati untuk berfungsi dan itu adalah punca kematian," kata Pengarah Pusat Maklumat Racun New South Wales, Dr Naren Gunja.

mstar/-

Penganggur lega dipenjara seumur hidup, lapan sebatan

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur yang melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Paka, Dungun, tiga tahun lalu, terselamat daripada hukuman gantung sampai mati setelah pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini, dipinda.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan lapan sebatan bagi dua pertuduhan ke atas Hazly Ali, 25, iaitu menunjukkan senjata api dan melepaskan tembakan dalam kejadian itu.

Pertuduhan itu dipinda daripada Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, iaitu melepaskan tembakan kepada pertuduhan me­ngikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu rompak berkumpulan dan rompak bersenjata.

“Tertuduh didakwa bersama dengan tiga lelaki dikenal sebagai Sani, Salam dan seorang yang masih bebas, iaitu Mat Yi, merompak satu dulang tali tangan emas bernilai kira-kira RM50,000 dan tiga dulang rantai emas bernilai kira-kira RM50,000 milik Lee Jing Rong, 34, di Kedai Yong Seng Tukang Emas pada 13 April 2009 lalu.

“Ketika melakukan rompakan itu, kamu menggunakan senjata maut, iaitu sepucuk pistol dan sebatang kayu besbal dan dengan itu kamu didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan 34 Kanun Keseksaan,” kata Mohd Yazid.

Bagi kesalahan itu, Mohd Yazid menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan dua sebatan.

Bagi pertudu­han menunjukkan senjata api pula, Mohd Yazid berkata, pihak pembelaan gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes melangkaui keraguan munasabah terhadap tertuduh me­ngikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta boleh dihukum me­ngikut akta sama.

Dengan itu, Mohd Yazid menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan serta memerintahkan semua hukuman berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala Hazly diwakili peguam bela Zulkifli Mohd Tarmizi dan Mohd Hisham Abd Rahim.

Dalam rayuannya, pihak pembelaan merayu agar hukuman terhadap Hazly diringankan kerana usianya masih muda dan sudah insaf atas kesalahan itu.

Selain itu, pihak pembelaan turut mendakwa tertuduh rajin berpuasa serta bersembahyang sunat pada waktu malam sepanjang berada di Penjara Pengkalan Chepa dan mengharapkan mahkamah mengambil kira tiada kecederaan berlaku ke atas orang ramai.

Sinar Harian

Warga emas dakwa dipukau

10 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas Singapura kerugian kira-kira RM14,000 setelah ditipu ejen sindiket gores dan menang ketika sedang berjalan melalui sebuah jambatan dari pusat membeli-belah di bandar raya ini.

Mangsa, Tham Kim Ying, 76, mendakwa turut dipukau oleh ejen berkenaan sehingga dia menyerahkan kesemua wang tunai yang dimiliki dan simpanan dari akaun kad kredit kira-kira RM13,000.

“Bulan lalu, saya ke sini (Malaysia) dengan menaiki bas untuk membuka sebuah akaun simpanan dan setelah selesai urusan, saya membuat keputusan terus pulang ke Singapura.

“Tetapi ketika sedang berjalan kaki melalui jambatan untuk ke terminal bas, saya didatangi dua lelaki muda yang meminta menggores sekeping kad untuk menebus hadiah.

“Saya menolak tawaran mereka tetapi terus dipujuk dan setelah menggores kad itu saya diberitahu telah memenangi hadiah yang ke-11 berupa barangan elektrik bernilai RM14,500,” katanya dalam sidang media di pejabat Biro Aduan Johor Bahru, semalam.

Kim Ying berkata, sejurus selepas itu, datang seorang lagi lelaki yang terus memeluknya sambil menggoncang tangannya beberapa kali dan mengucapkan tahniah di atas kemenangan daripada kad yang digores.

Katanya, walaupun berkali-kali menolak, namun ketiga-tiga lelaki tidak dikenali itu tetap berkeras membawanya menaiki teksi untuk ke pejabat mereka bagi menebus hadiah berkenaan.

“Saya tidak pasti ke mana saya dibawa kerana tidak tahu selok-belok di negara ini. Ketika di pejabat, seorang lagi ejen memberitahu saya perlu membayar sejumlah deposit sebelum menebus hadiah yang ditawarkan.

“Mereka kemudian membawa saya ke Taman Molek untuk mengeluarkan sejumlah wang dari akaun kad kredit dan turut meminta saya menyerahkan semua wang tunai yang saya miliki ketika itu,” katanya.

Kim Ying berkata, sepanjang tempoh itu, salah seorang daripada mereka kerap kali menggoncang tangannya dipercayai sebagai salah satu cara untuk memukau dan memastikan mangsa sentiasa menuruti arahan.

“Dalam tempoh itu, saya berada dalam keadaan keliru dan hanya menuruti kehendak mereka walaupun saya telah beberapa kali memberitahu enggan menebus hadiah berkenaan.

“Selepas wang diambil, mereka menghantar saya ke hentian teksi ke Singapura dan menyerahkan tiga barangan elektrik yang dianggarkan hanya bernilai RM1,900,” katanya.

Katanya, sebaik sahaja tiba ke negara asalnya, dia tersedar dirinya telah ditipu dan segera membuat laporan polis kerana khuatir dokumen peribadinya yang difotokopi ejen berkenaan akan disalah guna.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Aduan Johor Bahru, Michael Tay menasihatkan orang ramai agar menjauhi individu tidak dikenali yang menawarkan skim peraduan gores dan menang bagi mengelakkan dari ditipu.

“Sekiranya mereka masih terus memujuk untuk menggores kad berkenaan, segera hubungi pihak polis agar mereka segera beredar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau telah menghubungi syarikat yang berkenaan bagi membantu mendapatkan semula wang Kim Ying yang diambil syarikat berkenaan.

“Pada mulanya mereka enggan mengaku tetapi setelah perbincangan dilakukan, akhirnya mereka bersetuju untuk membayar semula dalam satu pertemuan yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Sinar Harian

Dipenjara akibat curi seluar dalam

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku bersalah kerana mencuri dua kotak seluar dalam di sebuah kompleks membeli-belah dan gagal menunjukkan kad pengenalannya, dua hari lalu.

Majistret Mohd Azali Ibrahim memerintahkan M Tharmalingan, 29, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada Ahad lalu.

Tharmalingan mencuri dua kotak seluar dalam jenama Alain Delon bernilai RM30 di UO Shopping Complex, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini jam 2.47 petang, 1 Januari lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Dia juga dituduh kerana gagal menunjukkan kad pengenalan ketika diminta polis pada jam 3 petang di tempat dan tarikh sama.

Ketika membuat rayuan, peguam Farkhana Omar, yang mewakili Tharmalingan berkata, kliennya itu memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.
Timbalan Pendakwa raya Loh Wei Dhin mengendalikan pendakwaan.

Sinar Harian

Tragedi pulang bercuti

10 Safar 1433H. [MOD] -

MUAR – Kegembiraan dua keluarga pulang bercuti dari Melaka bertukar tragedi apabila dua ahli keluarganya maut setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Onn Hwee Kien, 30, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler yang membawa muatan kertas.

Akibat rempuhan itu, dua daripada 11 orang dalam kereta Toyota Estima itu maut di tempat kejadian.

Mereka yang terbunuh ialah isteri Hwee Kien, Chow Sew Kit, 29, dan bapanya, Onn Kim Tai, 69.

Manakala, enam ahli keluarga yang lain masih menjalani rawatan di wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan tiga yang lain dilaporkan sudah keluar hospital.

Bagaimanapun, pemandu treler, Misran Amin, 49, tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Abang kepada mangsa terbunuh, Chow Kah Hui, 33, berkata, adiknya sekeluarga bertolak ke Melaka Ahad lalu untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru.

Menurutnya, mendiang tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan begitu gembira sebelum bertolak ke Melaka.

“Saya tidak sangka, itulah pertemuan terakhir dan lebih menyedihkan tidak sempat menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kah Hui berkata, percutian tersebut turut disertai kedua ibu bapa mereka, Chow Ye, 64, dan Lau Siu Ling, 56, serta 20 ahli keluarga lain dengan menggunakan dua kenderaan MPV.

“Saya menerima panggi­­lan pada jam 7 malam, mengatakan salah sebuah kenderaan yang dinaiki ahli keluarga terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh.

“Setibanya di HPSF, saya dapati Sew Kit sudah meninggal dunia, manakala adik ipar, Hwee Kien, yang memandu Toyota Estima berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan insiden tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di talian 06-9526222,” katanya.

Sinar Harian

Kereta 200cc dikeluarkan di India

10 Safar 1433H. [MOD] -

NEW DELHI – Pengeluar kereta Bajaj Auto di India mendedahkan sebuah kereta berkuasa 200cc yang hanya mengeluarkan 60 gram karbon dioksida bagi setiap kilometer.

Kereta itu yang dinamakan RE60 yang bergerak sejauh 35 kilometer bagi setiap satu liter petrol akan memasuki pasaran kenderaan berharga murah di negara ini.

Namun, harga kereta itu tidak didedahkan oleh Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj.

Kereta itu untuk dinaiki seramai empat orang yang mempunyai kelajuan 70 kilometer sejam dan berat hanya 400 kilogram.

Ia dibina khas untuk kegunaan pengguna bandar. – AFP

Tubuh Manusia Mengandung Rata-rata 27 Zat Kimia Berbahaya

10 Safar 1433H. [MOD] -

Jakarta, Bahan kimia telah membawa manfaat besar bagi kehidupan manusia, namun ada juga sisi negatifnya. Gara-gara mencemari lingkungan, rata-rata 27 jenis zat kimia masuk ke dalam tubuh manusia dan bisa berbahaya bagi kesehatan.

Pengujian seratus zat yang sangat berbahaya telah mengungkapkan bahwa rata-rata tubuh manusia mengandung 27 zat kimia tersebut, meskipun campuran kimianya bervariasi dari orang ke orang. Anak-anak ditemukan lebih tercemar dari orang tua atau kakek neneknya, sedangkan ibu menurunkan racun kepada bayi dalam kandungan.

Dalam konferensi dunia yang bertajuk The International Year of Chemistry 2011, para peneliti telah menemukan bahan kimia yang berpotensi bahaya dalam setiap satu dari 14 makanan pokok yang diambil dari rak supermarket, juga di udara setiap rumah yang dikunjungi.

Temuan ini memacu 200 ilmuwan terkemuka dari lima benua beberapa tahun lalu untuk mengeluarkan peringatan bersama bahwa paparan bahan kimia mengganggu perkembangan organ penting pada janin dan bayi, meningkatkan kemungkinannya terkena diabetes, kanker, gangguan perhatian, kerusakan tiroid, berkurangnya kesuburan, dan kondisi lain di kemudian hari.

The Standing Committee of European Doctors yang menyatukan badan-badan dokter di Eropa menyatakan bahwa "Polusi kimia merupakan ancaman serius bagi anak-anak dan untuk kelangsungan hidup umat manusia".

Peneliti dari Mount Sinai School of Medicine di New York dan University of Southern Denmark memperkirakan wabah yang tak terdeteksi pada otak seperti autisme, cerebral palsy, dan gangguan perhatian atau ADHD dengan mengidentifikasi 202 zat yang dikenal mampu meracuni otak.

Tapi ada kekhawatiran yang paling utama, yaitu efek bahan kimia yang sanggup mengganggu hormon. Setengah ikan jantan di sungai dataran rendah Inggris telah ditemukan memiliki telur pada testisnya. Temuan ini makin menyalahkan bahan kimia dalam penurunan jumlah sperma manusia. Pengukuran di lebih dari 20 negara menunjukkan bahwa rata-rata produksi sperma pada manusia telah menurun sebasar 150-60 juta per mililiter cairan sperma dalam 50 tahun.

Namun semua ini masih hanya sebagian kecil dari masalah. Ada 100.000 bahan kimia yang digunakan, tetapi hanya 15 di antaranya yang diketahui baik dan aman. Sayangnya, regulasi yang mengatur mengenai berlimpahnya bahan kimia ini masih sangat kurang memadai.

"Dan tahun ini kita juga telah kehilangan kesempatan untuk mengatasi apa yang telah diharapkan sejak awal, yang revolusi kimia untuk menurunkan paparan bahan kimia terhadap tubuh," kata John Wargo, Profesor dari Yale University seperti dilansir The Telegraph, Kamis (31/12/2011).

detikhealth/-

Tindakan RPK dibidas

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang menggunakan media pro kerajaan untuk menye­rang peribadinya.

“Saya selalunya tidak komen serangan di saat Pilihan Raya Sarawak dan Pilihan Raya Umum 2008 ke­rana akan muncul orang dan dakwaan baru dikemukakan secara sindiran dan menggunakan media kerajaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Pakatan di ibu pejabat PKR, di sini.

Anwar berkata, walaupun sudah mengenali Raja Petra selama sepuluh tahun, penulis blog itu didakwa tidak pernah tampil bersemuka untuk membincangkan isu yang dibangkitkan baru-baru ini.

Saya mengenalinya lama dan beliau tidak pernah menyebutnya. Beliau mulai aktif sejak di penjara. Saya berterima kasih padanya kerana banyak membantu.

“Tetapi beliau tidak bersedia ke penjara dan akhirnya melarikan diri ke London. Setakat itu sahaja. Sejak beliau menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Sarawak, enam bulan lalu, saya tidak berhubung dengannya,” katanya.

Beliau me­ngulas pendedahan Raja Petra dalam wawancara eksklusifnya di akhbar arus perdana, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sinar Harian

Lelaki ditahan curi kerbau

10 Safar 1433H. [MOD] -

KLUANG - Seorang lelaki ditahan polis kerana mencuri lima ekor kerbau yang dilaporkan hilang di Ladang Pakloh, Kampung Gajah dekat sini, kira-kira jam 4 pagi pada 26 Disember lalu.

Tangkapan ke atas suspek dilakukan 15 minit selepas pemilik kerbau melaporkan kehilangan lembu tersebut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 4 pagi sebelum dua anggota polis bantuan di ladang berkenaan berjaya menjejaki suspek.

“Suspek dikesan memandu sebuah lori jenis Isuzu sebelum dua anggota polis bantuan mengarahkannya supaya berhenti.

“Bagaimanapun, suspek enggan memberhentikan kenderaannya lalu terus menekan pedal minyak sebelum cuba merempuh kedua anggota berkenaan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Beliau berkata, kedegilan suspek menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan yang terkena di bahagian hadapan lori terbabit sebelum suspek terbabas dan berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan, polis kemudiannya menemui lima ekor kerbau yang dipercayai baru dicuri dari ladang terbabit. Siasatan lanjut mendapati suspek adalah warga tempatan berusia 35 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes sama.

“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kluang dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dan Seksyen 307 kanun yang sama bagi kesalahan cubaan membunuh,” katanya.

Sinar Harian

Kor Ming saman blogger

10 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta terhadap penulis blog Sekupangdua, Ahmad Sofian Yahya, 47, yang didakwa memaparkan artikel memfitnahnya.

Kor Ming selaku plaintif mendakwa artikel bertajuk Panas! Bongkar Nga Komeng dan Pakatan Rakyat Menyamun yang ditulis Ahmad Sofian dan disiarkan dalam blog berkenaan bertarikh 16 Disember 2011 adalah suatu fitnah serta berniat jahat.

Writ saman tersebut difailkan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam melalui firma guaman Tetuan Leong &Tan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Sofian sebagai defendan dalam blognya di http://www.sekupangdua.blogspot.com pada 16 Disember lalu dikatakan telah memuat naik beberapa salinan dokumen yang menunjukkan berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tender menjahit 24 kot ahli majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Dokumen itu mendedahkan syarikat Ethan dan Elton, yang mana salah seorang pengarahnya merupakan isteri Kor Ming, Wong Seow Ching memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.

Pada asalnya, kontrak itu ditawarkan kepada GoodmanTailor pada 3 April 2008 kemudiannya diberikan kepada Ethan dan Elton selepas disyorkan Kerajaan Negeri ketika itu.

Artikel tersebut menggambarkan plaintif antaranya tidak beramanah, penyamun harta rakyat dan menyalahgunakan kuasa sebagai seorang exco di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Pihak plaintif menyatakan, defendan mempunyai niat jahat dalam menulis dan menerbitkan artikel tersebut dengan tujuan menghancurkan dan memusnahkan nama baik dan kerjaya politik plaintif.

Ekoran penerbitan tersebut, pihak plaintif menyatakan, maruah dan reputasinya telah terjejas serta mengalami tekanan mental yang teruk.

Dalam writ saman itu, pihak plaintif turut memohon injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada menulis, menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dalam blog beliau yang menyentuh plaintif dan ahli keluarga.

Turut dituntut adalah ganti rugi am berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan yang tidak dinyatakan jumlahnya, faedah dan kos.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping dan Adun Pantai Remis ditemani tiga peguamnya, Leong Cheok Keng, Augustine Anthony dan Nga Hock Cheh.

Sinar Harian

Cukur rambut untuk elak dikenali

10 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Taktik seorang lelaki yang mencukur rambutnya untuk mengelak daripada dikesan, tidak berjaya apabila ditahan polis tengah malam tadi di Pasar Jelutong.

Lelaki itu yang dipercayai mendera anak perempuannya berusia enam tahun tiga hari lalu,hanya berjaya menyembunyikan diri hampir 24 jam sebelum dikesan pihak berkuasa.

Suspek berusia 49 tahun itu dipercayai sedang menunggang motosikal apabila ditahan dengan bantuan tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) ketika cuba melarikan diri setelah terserempak dengan anggota polis.

Ketua Polis Dearah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata suspek ditahan kira-kira jam 12.45 tengah malam dan sudah mencukur rambutnya agar sukar dikenali.

"Suspek pada mulanya enggan turun dari motosikalnya cuba meloloskan diri tetapi dapat ditahan walaupun cuba mengasari mereka.

"Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Jelutong untuk soal siasat. Dia direman hari ini ,"katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar melawat mangsa dera yang kini drawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Abdul Rahim yang turut diiringi Kong Meng berkata, masyarakat perlu memainkan peranan bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak menjadi mangsa dera.

“Jiran tetangga perlu melaporkan dengan segera jika mendapati ada kanak-kanak didera atau mungkin didera di kawasan perumahan mereka agar polis dapat mengambil langkah lanjut,” katanya.

Beliau turut menyampaikan hamper kepada mangsa sempena Tahun Baru Cina yang akan menjelang tidak lama lagi.

Menurutnya, bapa kanak-kanak itu sudah direman empat hari kerana memukul dan mengurung anak perempuannya itu.

“Kita sudah mendapat perintah reman dari mahkamah dan polis akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, mangsa itu kelihatan ceria di samping ibunya walaupun masih dirawat di HPP.

Sinar Harian

Kereta mesra alam serba boleh

10 Safar 1433H. [MOD] -

KERETA yang dihasilkan uintuk pertandingan anjuran syarikat Volkswagen.

BEIJING: Seorang pencipta China menghasilkan rekaan baru sebuah kereta yang menakjubkan, yang boleh bergerak di atas jalan tar, pasir, ais dan juga air.

Kenderaan itu yang mempunyai kelajuan maksimum 92 kilometer sejam dan beroperasi seperti hoverkraf, boleh bergerak antara permukaan itu tanpa gangguan.

Yuhan Zhang, 21, menghasilkan kereta yang diberi nama Volskwagen Aqua untuk menyertai pertandingan anjuran syarikat pembuat kereta Jerman itu.

Ia dilengkapi dengan empat kipas dan digabungkan dengan dua beg angin yang boleh menggelembung untuk membolehkannya bergerak seperti hoverkraf.

Ia juga mesra alam kerana kedua-dua motornya menggunakan kuasa hidrogen tanpa mengeluarkan sebarang karbon.

Satu daripada motor itu menggelembungkan ‘skirt’ di sekeliling kenderaan itu untuk membolehkannya terapung sementara satu lagi memacunya ke depan dan mengawal arah.

“Tidak ada pengangkutan yang lebih baik daripada kenderaan kusyen udara kerana ia boleh bergerak dengan baik di darat, ais dan air.

“Saya berharap Aqua satu hari nanti akan menjadi kereta super yang mampu dimiliki oleh orang awam,” kata Zhang.

Peserta pertandingan berkenaan dikehendaki menghasilkan sebuah kenderaan yang boleh digunakan di luar jalan raya. - Agensi

Orang utan dirawat seperti manusia

10 Safar 1433H. [MOD] -

MARVEL diberikan bantuan pernafasan di sebuah pusat Program Pemuliharaan Orang Utan Sumatera di Batu Mbelin pada 29 Disember lalu.

BATU MBELIN, Indonesia - Seekor orang utan jantan berusia 40 tahun bernama Puyul terpaksa dibedah bagi mengubati kaki haiwan itu yang patah.

Puyul menjalani pembedahan tersebut di sebuah pusat Program Pemuliharaan Orang Utan Sumatera (SOCP) di sini, Sumatera Utara baru-baru ini.

Kaki mamalia itu patah semasa ia diselamatkan oleh beberapa sukarelawan selepas ditemui berkeliaran di sebuah ladang getah berhampiran perkampungan manusia.

Selain Puyul, seekor orang utan berusia empat tahun, Marvel turut menjalani pembedahan di pusat berkenaan.

Kaki Marvel terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman akibat dirantai semasa ia dijadikan sebagai haiwan peliharaan. - Agensi