04 Januari 2012

Rundingan Damai: Israel-Palestin Bertemu Semula Jumaat Ini

10 Safar 1433H. [MOD] -

AMMAN: Perunding Israel dan Palestin bersemuka buat pertama kalinya dalam tempoh 15 bulan dan bersetuju untuk bertemu semula, Jumaat ini dalam usaha meneruskan rundingan damai.

"Perbincangan berlangsung dengan baik," kata Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh.

Perbincangan itu diketuai oleh ketua perunding Israel, Yitzhak Molcho dan Mohammed Shtayyeh mewakili Palestin.

Washington turut mengalu-alukan usaha tersebut dan menyifatkan ia sebagai perkembangan positif selepas rundingan damai di antara kedua-dua negara tertangguh lebih setahun lalu.

"Kedua-dua negara menyuarakan komitmen masing-masing untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Kami tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi tetapi pada masa sama tidak mahu memperlekehkan kepentingan pertemuan itu.

"Palestin menghantar kertas kerja berhubung isu persempadanan dan keselamatan. Israel telah menerimanya," kata Judeh.

Beberapa pegawai Palestin memberitahu mesyuarat pada Selasa masih membincangkan isu sama kerana delegasi Israel tidak mengusulkan sebarang perkara baru.

Namun, mereka bersetuju untuk mengadakan pertemuan kali kedua di Amman pada Jumaat ini di bawah pemerhatian Kuartet Timur Tengah.

Terdahulu, Palestin enggan meneruskan rundingan damai dengan Israel kerana Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan membekukan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

mstar/-

Tiada ulasan: