04 Januari 2012

UPSI jangan jadi 'institusi pengajian rimba'

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Pihak pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diingatkan agar tidak menjadikan universiti itu sebagai 'institusi pengajian rimba' di negara ini dengan tidak menghormati proses keadilan.

Tindakan UPSI menyingkirkan salah seorang pelajarnya, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim dari kolej kediaman Aminuddin Baki kampus itu yang terlibat dalam demonstrasi aman di hadapan pusat pengajian itu malam 1 Januari lalu, bagaimanapun jelas memperlihatkan sikap universiti tersebut yang mendahului proses undang-undang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pada hal pihak pentadbiran UPSI tidak sepatutnya mengenakan tindakan seperti itu terhadap pelajar terbabit kerana beliau tidak pun disahkan bersalah oleh mahkamah.

Menurutnya, malah kes pelajar terbabit belum pun dibawa ke mahkamah untuk diadili, tetapi bagaimana pula UPSI boleh mengatakan pelajar tersebut bersalah.

Katanya, sekiranya pihak UPSI mengatakan Siti Nurul Piteriah bersalah kerana melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), perkara itu juga mestilah diputuskan oleh mahkamah.

"Pihak pentadbiran UPSI tidak boleh bertindak sesuka hati ke atas pelajarnya dengan mengatakan pelajar terbabit bersalah hanya atas alasan melanggar peraturan universiti itu, sedangkan pelajar berkenaan belum pun diputuskan bersalah oleh mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Seorang mahasiswi UPSI, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim yang terlibat dalam demonstrasi aman yang mencederakan dua pelajar dan membawa kepada penangkapan 17 pelajar lain di hadapan pusat pengajian tinggi itu malam 1 Januari lalu telah disingkirkan dari kolej kediaman universiti tersebut.

Menurut penyelaras kumpulan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, pelajar wanita itu dimaklumkan keputusan tersebut kelamrin selepas beliau dibebaskan daripada tahanan polis.

Adam Adli seperti yang dilaporkan media tempatan berkata, Siti Nurul Piteriah telah disingkirkan dari kolej kediaman Aminuddin Baki, manakala seorang lagi pelajar universiti itu, Alif Ashraf, yang turut mengambil bahagian dalam demonstrasi tersebut juga mungkin menghadapi tindakan disiplin, tetapi belum disahkan.

Bagaimanapun, media hari ini turut melaporkan, Siti Nurul Piteriah akan terus menetap di asrama berkenaan sehingga notis rasmi diberikan kepadanya.

"Saya masih di kolej. Setakat ini saya hanya diberikan notis lisan daripada rakan-rakan kolej, yang memetik pesanan "dari pihak atasan".

"Selagi tidak ada notis (rasmi), saya akan tetap tinggal di sana. Itu adalah hak saya," kata pelajar diploma Kesusasteraan Melayu itu.

Siti Nurul Piteriah menjelaskan, beliau dimaklumkan untuk mengosongkan asrama kediamannya berkuatkuasa serta-merta, jam 9.30 malam, selepas dia dibebaskan pada sebelah petang hari demonstrasi berkenaan.

Menurut Mahfuz, PAS amat kesal dan mengecam keras tindakan UPSI itu kerana ia telah menyebabkan pusat pengajian itu kini telah bertukar menjadi institusi pengajian rimba di negara ini.

Katanya, sebagai sebuah pusat pengajian tinggi, pihak pentadbiran UPSI sewajarnya menghormati undang-undang, tetapi tindakan tersebut jelas menunjukkan UPSI telah mendahului proses undang-undang untuk melakukan sesuatu tindakan.

"Apakah salah jika pelajar itu terlibat dalam demonstrasi? Jika pula dikatakan menyalahi Auku, buktikahlah di mahkamah. Sedangkan Auku itu sendiri telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyalahi Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap agar pihak pentadbiran UPSI menarik balik penyingkiran terhadap Siti Nurul Piteriah dan pelajar lain yang terlibat dalam demonstrasi tersebut.

Harakah Daily

1 ulasan:

awang putat berkata...

Kenapa kita asik bercakar sesama melayu? kenapa orang melayu sahaja banyak masaalah? Baik pemimpin mau pun pelajar IPTA,
Kenapa orang Melayu sahaja yang asik buat himpunan dijalanan? kenapa orang melayu sahaja menyalahkan orang melayu? kenapa melayu sahaja yang banyak buat fitnah sesama melayu? ini menunjukkan orang melayu akan hancur? atau orang melayu tidak ada apa nak buat atau berfikir untuk masa depan orang melayu? atau nak tunjuk sebagai HERO orang melayu?