04 Januari 2012

Tragedi pulang bercuti

10 Safar 1433H. [MOD] -

MUAR – Kegembiraan dua keluarga pulang bercuti dari Melaka bertukar tragedi apabila dua ahli keluarganya maut setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Onn Hwee Kien, 30, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler yang membawa muatan kertas.

Akibat rempuhan itu, dua daripada 11 orang dalam kereta Toyota Estima itu maut di tempat kejadian.

Mereka yang terbunuh ialah isteri Hwee Kien, Chow Sew Kit, 29, dan bapanya, Onn Kim Tai, 69.

Manakala, enam ahli keluarga yang lain masih menjalani rawatan di wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan tiga yang lain dilaporkan sudah keluar hospital.

Bagaimanapun, pemandu treler, Misran Amin, 49, tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Abang kepada mangsa terbunuh, Chow Kah Hui, 33, berkata, adiknya sekeluarga bertolak ke Melaka Ahad lalu untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru.

Menurutnya, mendiang tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan begitu gembira sebelum bertolak ke Melaka.

“Saya tidak sangka, itulah pertemuan terakhir dan lebih menyedihkan tidak sempat menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kah Hui berkata, percutian tersebut turut disertai kedua ibu bapa mereka, Chow Ye, 64, dan Lau Siu Ling, 56, serta 20 ahli keluarga lain dengan menggunakan dua kenderaan MPV.

“Saya menerima panggi­­lan pada jam 7 malam, mengatakan salah sebuah kenderaan yang dinaiki ahli keluarga terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh.

“Setibanya di HPSF, saya dapati Sew Kit sudah meninggal dunia, manakala adik ipar, Hwee Kien, yang memandu Toyota Estima berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan insiden tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di talian 06-9526222,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: