04 Januari 2012

NFC: Suami Shahrizat didakwa rasuah SPRM, polis

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 4 Dis : Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Mohamad Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, merujuk tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail, 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.

Bagaimanapun wang berkenaan, kata Rafizi, digunakan Mohamad Salleh bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC.

“Tugasan Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai tersebut,” kata Rafizi.

Merujuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata Rafizi,undang-undang jelas menunjukkan Salleh melalui Shamsulbahrin telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM.

“Undang-undang SPRM jelas menunjukkan dalam kes ini, Datuk Seri Salleh Ismail melalui Datuk Shamsubahrin Ismail cuba merasuah pegawai SPRM dan PDRM dalam kes NFC bagi perkara berikut:

“Pertama, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta.

“Kedua, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memujuk pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: